02 Jun 2013

Tubuh badan bebas ambil alih peranan SPR

23 Rejab 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memindahkan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kuasa dan kawal selia sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya.

“Malah, pengumuman tersebut membuktikan bahawa kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia,” kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Kaanya, PKR sekali lagi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik.

Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, selaras dengan usul di Kongres Nasional Tahunan ke 9 Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mei 2013 yang lalu, PKR kekal menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR.

“SPR bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak dalam satu kenyataan.

Oleh kerana itu, jelasnya PKR bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Bersih menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sungguhpun begitu, ujarnya adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar 'public relations exercise' semata-mata.

“Saya menuntut supaya cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak atau stakeholders dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan SPR untuk membuat syor-syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya.

“Cadangan ini adalah bagi memastikan tidak berlakunya conflict of interest dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan perlaksanaan pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, penubuhan badan bebas ini penting supaya persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya ini dilaksanakan dengan asas dan kriteria-kriteria yang jelas termasuk mengambil kira kriteria electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties.

Tiada ulasan: