28 November 2011

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

2 Muharram 1433H. [MOD] -

Hadith:

RASULULLAH saw bersabda bermaksud: "Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah."

Riwayat: Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.

2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.

3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Banyak Pertubuhan Sukarela Di Malaysia Tidak Dapat Bertahan Lama - ROS

2 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mendapati jangka hayat kebanyakan pertubuhan sukarela dalam negara kini amat singkat berbanding sebelum ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Rahman Othman.

Beliau berkata, ini berikutan sesetengah pertubuhan itu hidup atas dasar dan sifat kepimpinannya dan bukan atas matlamat asal penubuhan untuk kepentingan anggota.

"Banyak pertubuhan sukarela di negara ini hanya mampu bertahan tidak lebih lima tahun kerana pertukaran kepimpinan dan pentadbirannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog dengan pertubuhan baru Kelantan, di sini, Isnin.

Turut hadir Pengarah ROS Kelantan Wan Rahimah Hamat dan Timbalan PengarahKesihatan Negeri Dr Wan Mansor Hamzah sebagai anggota panel.

Tanpa menyebut peratusan dan statistik pertubuhan berstatus demikian, beliaumeminta supaya pertubuhan-pertubuhan sukarela mengamalkan konsep "gelombangkesukarelawan" seperti disaran Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin TunHussein. - BERNAMA

Selepas guna sekolah, BN ugut penerima bantuan pula

2 Muharram 1433H. [MOD] -

PAS dakwa menteri besar mengeluarkan surat mengugut mereka supaya menyertai simulasi pilihan raya itu.


PETALING JAYA: Selepas lapuran BN menggunakan sekolah melaksanakan simulasi pilihan raya di Dungun, kini PAS Terengganu mendakwa lawannya itu mengugut dan memanipulasi para pengundi.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS negeri Terengganu Ariffin Deraman berkata, beliau mendapat maklumat, sasaran pengundi simulasi itu adalah terdiri daripada mereka yang cuba dipengaruhi oleh Umno.

“Saya dapat maklumat sasaran utama adalah orang yang boleh dipengaruhi khususnya penerima bantuan ehsan, penerima dana bakti remaja dan pengundi baru,

“Kita juga dapat lihat surat yang dikeluarkan oleh menteri besar kepada pengundi-pengundi tertentu supaya hadir dalam simulasi,”katanya ketika diminta mengulas perkara tersebut.

Katanya, surat Pengerusi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kepada pengundi sasaran tersebut membuktikan berlaku politik ugutan.
Arifin mendakwa. merek yang dipanggi tetapi tidak hadir, Umno akan mengugut menarik balik bantuan-bantuan berkenaan.

“Program Umno bukan kerajaan”

Beliau berkata, cara ini merupakan ugutan kepada orang tua dan juga mungkin kepada orang baru ataupun orang yang tak tahu dari segi undang-undang pilihan raya.

Beliau berkata, melalui laporan yang diterima, Umno melanggar etika dengan menyalahgunakan premis kerajaan dalam program simulasi yang diadakan itu.

“Sebahagian besar mereka mereka menggunakan premis kerajaan sama ada sekolah atau balai raya termasuk meletakkan bendera.

“Tetapi ini program Umno bukan kerajaan,” tambahnya.

Arifin menegaskan perkara itu akan dilapurkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selain menghebahkan pemylewengan Umno itu kepada media massa dan orang ramai.

Semalam FMT melapurkan beberapa sekolah rendah dan menengah di daerah Dungun didakwa digunakan dalam simulasi pilihan raya BN itu. FMT/-



Gempa bumi 6.2 magnitud di Laut Bali

2 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Laut Bali di Indonesia pada 5.13 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan di sini, menyatakan pusat gempa terletak di kedudukan 1,047 kilometer ke tenggara Sarikei, Sarawak.

"Kejadian gempa itu tidak mencetuskan ancaman tsunami," menurut kenyataan itu. -

Undilah [Versi Pakatan Rakyat]

2 Muharram 1433H. [MOD] -

pilihan raya pertama di Mesir sejak pemerintahan 30 tahun bermula


2 Muharram 1433H. [MOD] -ASKAR Mesir mengawal orang ramai yang menunggu untuk membuang undi pada pilihan raya Parlimen di Kaherah. Televisyen Mesir melaporkan, pusat pengundian dibuka hari ini untuk melaksanakan pilihan raya pertama di Mesir sejak pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak berakhir pada Februari lalu. - Foto Reuters

Shahrizat kata dia tiada kena mengena dengan NFC

2 Muharram 1433H [MOD] -

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menegaskan beliau tidak ada kena-mengena dengan isu berkaitan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC). Kenyataan tersebut dikeluarkan menjelang Pehimpuanan Agung UMNO yang dilihat satu usaha terakhir beliau menyelamatkan karier politiknya yang berada dalam keadaan tidak selamat selepas dia dikaitkan dengan skandal tersebut yang mencalari diri,keluarga dan partinya.

Skandal yang menggemparkan negara itu hangat diperkatakan sehingga di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen BN dari Kinabatangan, Bung Mokhtar meminta beliau meletakkan jawatan kerana menjadi bebanan kepada parti.

Ketua Wanita UMNO itu berkata, beliau tidak akan menggunakan perhimpunan agung UMNO minggu ini untuk menjawab sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang berkaitan NFC.

"Saya tidak akan jelaskan (isu NFC) tetapi ada satu, dua mesej yang nak saya jelas kepada pihak di luar sana semasa persidangan Wanita UMNO nanti.
"Tunggulah. Sebagai pemimpin, kita kena banyak bersabar, tenang dan jangan cepat melatah.

"Saya tidak akan jawab. Kalau nak bertanya mengenai NFC, tanyalah kepada orang NFC. Saya hanya akan tumpukan pada Pergerakan Wanita UMNO," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini.

Bagaimanapun Shahrizat berkata, beliau tidak akan menghalang mana-mana perwakilan untuk berbahas isu berkenaan NFC pada perhimpunan agung sayap itu Rabu ini.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC, yang mana suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail menjadi Pengerusi Eksekutifnya.

"Dalam politik (parti) mana tidak ada masalah, tambahan pula pembangkang, dia takut kerana Wanita UMNO kukuh bersatu padu dan dia cuba untuk menggoyahkan Wanita UMNO tetapi Alhamdulillah, UMNO dan Wanita UMNO tetap kental.

"Keimanan kita, keikhlasan kami tidak akan berganjak dan kita tak akan mudah melatah walau apa pun pembangkang nak buat sebabnya kita ikhlas dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara," katanya.

Polis Jerman bertempur dengan ribuan orang halang gerabak nuklear

2 Muharram 1433H. [MOD] -

DANNENBERG: Polis Jerman bertempur dengan ribuan penunjuk perasaan anti nuklear pagi tadi dengan kebanyakannya mengikat diri di atas landasan kereta api yang menyebabkan kelewatan jadual perjalanan apabila mereka cuba menghalang gerabak yang membawa sisa radioaktif.

Konvoi yang membawa sisa radioaktif berkenaan sejauh 1,200 kilometer dari barat laut Perancis ke tempat simpanan di utara Jerman, Lemgrabe iaitu kira-kira 30 kilometer dari destinasi terakhir iaitu Dannenberg. Selepas berhenti selama 18 jam termasuk bermalam, akibat daripada bantahan itu, kereta api berkenaan hanya menamatkan perjalanan sejauh 30 kilometer dalam tempoh empat jam. - AFP

Pemuda PAS Isytihar Nizar sebagai MB Perak

2 Muharram 1433H. [MOD] -
Oleh Muhammad Faeez

PARIT BUNTAR, 27 Nov: Pemuda PAS Perak mengisytiharkan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang ke-12 apabila mendapat mandat daripada rakyat dalam PRU-13 nanti.

Pengistiharan penting tersebut disampaikan oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin semasa mengetuai lafaz ikrar pemuda di Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) di Parit Buntar 27 November lalu.

Beliau berkata, Pemuda PAS akan berdiri teguh dan bersepakat untuk mengangkat kembali Nizar sebagai Menteri Besar selepas beliau ‘digulingkan’ dalam tragedi ‘rampasan kuasa’ Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

“Kami seluruh Pemuda Negeri Perak bersatu hati akan bekerja keras dalam PRU13 nanti bagi mengangkat kembali Dato’ Seri Nizar untuk mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat Perak,” katanya dihadapan ribuan hadirin.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hassan berkata, Pemuda parti tersebut sudah bersiap sedia menghadapi PRU-13.

Katanya, pemuda akan direalisasikan sebagai elemen penggerak terpenting dan penentu kemenangan dalam PRU13 nanti.

Jentera Pemuda tekad dan iltizam menumbangkan BN dalam PRU13 nanti bagi menghapuskan kezaliman serta menegakkan keadilan di muka atas bumi ini.

“Tragedi ‘rampasan kuasa’ kerajaan yang dipilih rakyat suatu ketika dulu masih terpahat dalam ingatan kami, BN jangan ingat kami dah lupa,” katanya.

Dalam Program tersebut, lebih 7 ribu pemuda daripada seluruh pelusuk negeri Perak telah hadir berhimpun untuk menyatakan kesediaan pemuda.

Himpunan tersebut bertemakan Bersih 2.0 dengan slogan ‘Semarakkan Gelombang Kuning’.

Tema tersebut dipilih bertujuan untuk meneruskan momentum kebangkitan rakyat dalam tuntuan Bersih 2.0 yang mahukan perjalanan pilihanraya adil dan telus.

Antara pemimpin yang hadir termasuklah Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hasan, AJK Pas Pusat Ustaz Idris Ahmad, Bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussien, dan saf kepimpimpinan Pemuda PAS Pusat.

Janji TiPU untuk orang Kelantan

2 Muharram 1433H. [MOD] -

Muhyiddin Yassin berjanji agar memberikan kemenangan kepada BN di Kelantan jika mahukan masalah air di negeri itu diselesaikan.

Sama seperti sebelum ini, setiap kali menjelang pilihan raya, pelbagai janji-jani ditaburkan bagi memancing undi pengundi di negara ini.

Menaburkan janji dalam politik Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, ia telah lama diamalkan khususnya bagi pihak yang memiliki kuasa lantaran merasakan dengan kuasa yang adalah yang memberi mereka keupayaan untuk melaksanakan janji.

Adakala janji-janji yang ditaburkan ini akhirnya berjaya memberikan pulangan dan tidak kurang juga janji yang akhirnya memakan diri sendiri.

Bagi sesetengah pihak pula, ada yang menganggap janji-janji yang ditawarkan ini lebih merupakan janji golongan terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam pilihan raya.

Lazimnya janji-janji yang ditaburkan ini turut memberi persepsi sebagai satu rasuah politik dan juga ugutan terhadap pengundi.

Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti politik yang paling berkuasa dalam negara turut tidak ketinggalan dalam menaburkan janji setiap kali musim pilihan raya berlangsung samada pilihan raya kecil atau pun umum.

Analisa janji TiPU selesaikan masalah air

Kali ini, giliran Timbalan Presiden Umno (TiPU), Muhyiddin Yassin pula mengambil giliran berjanji rakyat Kelantan agar memberikan kemenangan BN di Kelantan jika mahukan masalah air di Kelantan diselesaikan.

Bagaimanapun, bagi rakyat Kelantan yang mungkin cepat tersinar dengan janji-janji TiPU ini, adalah amat wajar terlebih dahulu melakukan analisa prestasi BN dalam menguruskan bekalan air di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Di Sabah contohnya yang merupakan kubu kuat BN sehingga dianggap sebagai negeri simpanan tetap yang sentiasa tidak menghampakan untuk BN menjamin kemenangan mereka, adakah pengurusan airnya berada di tahap nombor satu terbaik?

Sekiranya, analisa mendapati rakyat negeri Sabah menikmati bekalan air bersih paling sempurna, tiada pencemaran dan liputan bekalan air mencapai sehingga 99 peratus dari keseluruhan Sabah, maka pengundi Kelantan amat wajar untuk memegang janji TiPU itu.

Kesimpulannya, sekiranya bekalan air di Sabah seperti yang dinyatakan di atas, maka rakyat Kelantan dianggap tidak wajar sekiranya masih teragak-agak untuk memberi undi kepada BN.

Bagaimana pula sekiranya analisa dibuat didapati dalam Audit Air menyatakan bekalan air di Sabah hanya mampu meliputi 75 peratus sahaja dari keseluruhan negeri di bawah bayu itu?

Adakah sekiranya BN menjadikan faktor geografi sebagai alasan, ianya boleh diterima sedangkan pada masa yang sama berbilion ringgit boleh dibazirkan setiap tahun bagi projek mega lain.

Faktor geografi sebagai alasan

Bolehkah alasan geografi diterima apabila kemajuan teknologi masa kini menyaksikan banyak projek merentasi hutan, bukit-bukau, kawasan pergunungan dengan jarak beratus-ratus kilometer berjaya dilaksanakan bukan sahaja di negara luar malah di Semenanjung Malaysia.

Kalau projek yang melibatkan struktur yang besar boleh dilakukan mengapa tidak projek yang hanya melibatkan sambungan paip bagi menyalurkan kepentingan asasi rakyat tidak boleh.

Bagaimana pula sekiranya dari 75 peratus itu juga didapati, kualiti air mentahnya buruk, loji rawatan air tidak dilengkapi peralatan, makmal dan kakitangan yang berkelayakan seperti sepatutnya?

Bagaimana lagi sekiranya dari 75 peratus kawasan yang menerima bekalan air itu juga didapati amat jauh dari mematuhi standarad piawaian pengurusan air?

Bagaimana sekiranya didapati pemfloridaan tidak mencukupi, dan pembersihan tangki-tangki atau kolam di loji tidak dijalankan dengan sempurna dan terancang?

Bagaimana sekiranya di Sabah tiada stesen percontohan air yang sempurna, program jaminan kualiti air Sabah tidak memuaskan seperti komen yang dinyatakan dalam Audit Air 2008?

Bagaimana pula sekiranya 75 peratus pengguna di kawasan penerima bekalan air yang kualitinya tidak terjamin itu terpaksa membayar tarif air tertinggi di Malaysia iaitu 90 sen?

Cuba periksa pula, berapakah tarif purata bagi 35 meter padu air bagi sebuah lagi negeri yang juga sama seperti Sabah, kubu kuat BN iaitu Johor dengan purata 93 sen untuk satu liter padu.

Untuk menilai samada janji TiPU ini boleh diguna pakai dalam menentukan undian rakyat Kelantan, mereka juga harus mengetahui di Sabah masih banyak kawasan yang masih bergantung bekalan air dari sumber air paip graviti yang tidak dirawat?

Mereka juga harus mengetahui bahawa terdapat sumber air paip graviti ini datangnya dari kawasan yang telah dijadikan ladang kelapa sawit, keruh, kemungkinan telah tercemar dengan baja, racun rumput, keladak pasir dan tanah.

Tahukah pengundi di Kelantan bahawa masyarakat kampung-kampung di Sabah yang bergantung sumber air dari paip graviti yang dimulakan semenjak 70an dahulu terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kos penyelenggaraan.

Wajar juga rakyat Kelantan memikirkan adakah kerajaan pusat tidak boleh berbuat apa-apa atau sekurang-kurangnya membantu kerajaan negeri disebabkan tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi masalah air di Kelantan.

Berapa PRU BN janji nak selesai masalah air di Sabah?

Satu perkara yang tidak kurang juga pentingnya, rakyat Kelantan wajiblah bertanyakan kepada rakan-rakan di Sabah, pernahkah atau sudah berapa banyak pilihan raya umum (PRU) BN berjanji untuk menyelesaikan masalah air bagi membeli undi pengundi Sabah sebelum ini.

Setelah pengundi-pengundi di Kelantan selesai membuat analisa persoalan-persoalan di atas, tentunya mereka mampu menilai dan mendapat jawapan samada janji TiPU ini boleh dipercayai atau sebaliknya sekaligus menentukan lambang mana yang mahu dipangkah nanti.

Penulis tidaklah maksudkan janji yang dilafazkan oleh TiPU ini adalah tipu, sebaliknya penulis hanya cuba mengajak pengundi Kelantan sama-sama menganalisa samada janji ini mempunyai nilai kredibilitinya atau sebaliknya.

Negeri Kelantan, rakyat Kelantan punya, maka rakyat Kelantan berhak menentukan pilihan mereka samada BN atau PAS dan saya hanya cuba membantu mereka membuat sedikit analisa janji-janji TiPU ini. Tepuk dada tanya selera!

FMT/-

Hijrah membentuk negara Islam

2 Muharram 1433H. [MOD] -
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat


Perutusan Hijratur-Rasul Al-Mursyidul Am PAS Sempena Tahun 1433 Hijrah

بسم الله الرحمن الرحيم

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

– Surah al-Nisa’ ayat 100

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Al-Mursyidul Am

Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Bertarikh: 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H

Isu air tak jejas sokongan rakyat Kelantan

2 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Penganalisis politik Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berpandangan, isu air yang dimainkan pihak tertentu menyerang Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin PAS, tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti Islam itu.

Beliau yang juga Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, isu tersebut bukan baru di negeri itu malah rakyat negeri itu sendiri tidak melihat isu itu sesuatu yang besar kepada mereka kerana memahami kekangan yang ada pada kerajaan negeri.

"Bukannya saya hendak katakan kerajaan Kelantan itu tidak ada kelemahan, kelemahan memang ada, misalnya dalam isu air. Memang airnya keluar perlahan, airnya kotor jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi itu tidak menjadi isu besar bagi rakyat Kelantan.

"Mengapa demikian? Ini kerana kerajaan Kelantan ada satu tiang besar dan kukuh yang sukar digoncang, iaitu kepimpinan Tok Guru dan ketelusan pentadbiran sehingga rakyat faham kerajaan negeri tidak boleh menyediakan prasarana yang baik kerana tidak ada wang disebabkan oleh tiada bantuan dari kerajaan pusat," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Media dan pemimpin Umno sejak dua minggu lalu menyerang Kelantan dengan mendakwa air di negeri itu tidak bersih dan berisiko membawa penyakit.

Ianya termasuk akhbar Umno, Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’.

Mereka juga mendakwa kononnya air yang dibekal Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB), mengandungi logam berat serta E-coli.

Bagaimanapun dakwaan itu dibidas kerajaan negeri dengan membawa fakta dari Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.

Laporan itu mendedahkan bahawa negeri-negeri ditadbir kerajaan BN mengandungi kadar pencemaran bakteria E-coli lebih tinggi berbanding Kelantan.

Negeri Perlis mencatat pencemaran E-coli paling tinggi dalam negara iaitu 1.21% diikuti Pahang (1.12%), Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%), Perak (0.90%), Kelantan (0.88%) dan Johor (0.55%).

Mengulas lanjut, Mohammad Agus yang juga anak Kelantan berkata, biarpun isu tersebut dimainkan, namun baginya rakyat Kelantan tidak terpengaruh apatah lagi keyakinan rakyat terhadap kejujuran kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat tinggi.

"Dalam keadaan tertekan seperti sekarang ini pun Kelantan sukar digugat oleh kerajaan pusat dari segi sokongan rakyat kepadanya. Kenapa?

"Ini kerana kerajaan Kelantan mempunyai darjah integriti, ketelusan dan kejujuran politik yang tinggi," katanya.

Harakahdaily/-

letupan ke 2 di pusat beli-belah

2 Muharram 1433H. [MOD] -


KEADAAN restoran Noodle Station di pusat beli-belah Maju Junction yang separuh musnah dipercayai akibat kebocoran gas memasak di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Dua bulan lalu, negara pernah digemparkan dengan insiden letupan di pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya dekat sini, berpunca daripada kebocoran gas memasak di sebuah restoran di situ.

Malam tadi, satu lagi kejadian letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas berlaku di restoran Noodle Station yang terletak bersebelahan pintu masuk utama pusat beli-belah Maju Junction di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Mujurlah insiden kali ini tidak mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa kepada orang ramai yang berada di sekitar kawasan pusat beli-belah terbabit kerana ia berlaku kira-kira sejam selepas semua premis perniagaan di bangunan itu menutup operasi.

Namun, letupan kuat itu mengejutkan orang ramai yang sedang menjamu selera di sebuah restoran terletak kira-kira 200 meter di seberang jalan, manakala serpihan dinding kaca restoran pecah berderai dan tercampak sehingga di atas jalan raya.

Letupan mengakibatkan bangunan restoran Noodle Station itu hampir musnah keseluruhannya. Dua lagi restoran terletak bersebelahan iaitu Starbuck dan Pizza Hut bagaimanapun tidak mengalami kerosakan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, orang awam memaklumkan kejadian itu kepada pihaknya pada pukul 11.25 malam tadi.

Beliau berkata, seramai 30 anggota dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit termasuk anggota Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) serta forensik kebakaran tiba di lokasi kejadian dalam tempoh tujuh minit.

Katanya, siasatan percaya letupan adalah berpunca dari sistem saluran gas petroleum cecair (LPG) di dapur restoran yang terletak bersebelahan pintu utama pusat beli-belah itu yang menghadap ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Letupan menyebabkan tingkap atau cermin bahagian restoran pecah dan serpihannya tercampak di atas jalan raya.

"Tiada kemalangan jiwa dan pihak bomba telah menjalankan siasatan melalui Unit Forensik Bomba untuk mengesahkan punca letupan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pagi ini.

Pada 28 September lalu, penghuni pangsapuri studio dan hotel di kompleks bangunan beli-belah Empire Gallery, gempar apabila berlaku letupan kuat dari saluran gas memasak yang menyebabkan kerosakan enam tingkat bangunan dan mencederakan empat mangsa yang berada berhampiran.

Menurut Azizan, pihaknya akan menyiasat sama ada insiden terbabit berpunca akibat kecuaian manusia yang terlupa untuk menutup injap saluran gas memasak dengan betul atau masalah teknikal.

Skuad Olimpik Malaysia dimalukan Bahrain


2 Muharram 1433H. [MOD] -Pemain negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor (no 12) merembat kencang gol pertama Malaysia pada aksi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik (Zon Asia) bagi Kumpulan C bertemu Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Ahad. Foto: BERNAMA

Impian skuad Olimpik Malaysia untuk meraih mata penuh musnah selepas dimalukan dan tewas 2-3 kepada Bahrain pada aksi Kelayakan Sukan Olimpik 2012 (Zon Asia) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad.

Perlawanan ketiga bagi peringkat Kumpulan C ini merupakan kekalahan ketiga buat negara selepas turut tewas 0-2 kepada Jepun dan Syria sebelum ini.

Pada aksi perlawanan itu, pemain paling muda negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor menjadi tumpuan apabila menjaringkan gol awal permainan pada minit ke-30.

Manakala Mahali Jasuli menambah satu lagi gol buat Malaysia pada minit ke-68.

Bagaimana pun skuad Ong Kim Swee ini gagal memanfaatkan peluang yang ada sehingga membenarkan pasukan Bahrain mengutip tiga gol pada babak kedua perlawanan.

Malah jaringan penyamaan dan gol kemenangan Bahrain dalam tempoh 2 minit betul-betul mengecewakan.

Kemenangan Bahrain itu juga diraih dalam keadan seorang pemainnya dilayangkan kad mereh dan berarti mereka cuma bermain dengan 10 orang pemain sahaja.

Gol-gol Bahrain dijaringkan oleh Salah Al Amer (min-80), Isa Ahmed Muthanna (min-85 dan min-86).

Dengan kekalahan ini, Malaysia kini berada di tangga keempat kedudukan kumpulan tanpa sebarang mata.

Mendahului Kumpulan C ini ialah Jepun dengan 9 mata, diikuti Syria 6 mata dan Bahrain 3 mata.