13 Disember 2011

Patuh seperti kambing

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pembelaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhujah, bukti berhubung tingkah laku Mohd Saiful Bukhari Azlan, sebelum dan selepas dakwaan kejadian itu berlaku, tidak boleh dipercayai.

“Sukar untuk dipercayai SP1 (Mohd Saiful) bertindak seperti seekor kambing yang patuh de­ngan arahan tertuduh (Anwar) walaupun banyak peluang untuk­nya melarikan diri dari bilik tidur tersebut sebelum dakwaan liwat itu dilakukan. Dia memilih tidak berbuat demikian,” kata peguam utama Anwar, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi, semalam.

Karpal berkata, tidak ada bukti mengatakan, pintu ke bilik tidur itu dikunci dan Mohd Saiful boleh berlari keluar dari bilik itu ke ruang tamu, kemudian boleh meminta tolong daripada penghuni yang tinggal di unit bertentangan kondominium itu dan membuat aduan kepada mereka.

“Tetapi dia beritahu, dia terima pelawaan tertuduh ke ruang makan,” katanya.

Hujahan itu bagi peringkat pembelaan dalam kes Anwar, 64, atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, yang juga bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pembelaan mempersoalkan kredibiliti Mohd Saiful dan meminta mahkamah menilai semula kredibilitinya kerana pengadu tersebut tidak bercakap benar walaupun mahkamah mendapati dia saksi boleh dipercayai pada peringkat kes pendakwaan.

Sehubungan itu kata pembelaan, mahkamah mestilah mempertimbangkan sama ada kes terhadap Anwar itu dibuktikan melangkaui keraguan munasabah berikutan pihaknya telah menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Karpal berhujah, daripada keterangan pakar bedah Ortopedik, Dr Thomas Hoogland ketara merobohkan keterangan Mohd Saiful berhubung keupayaan Anwar sebagai lelaki berumur membuat aksi liwat seperti yang digambarkan oleh pengadu itu.

“Mohd Saiful ketika disoal balas menyatakan bahawa pada hari tersebut, beliau (Anwar) melakukannya dengan laju dan rakus,” kata Karpal.

Menurutnya, Mohd Saiful mengatakan telah diliwat sebegitu di atas lantai dalam bilik tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan Dr Hoogland, adalah tidak mungkin Anwar boleh melakukan aksi seperti dikatakan kerana ia memerlukan pergerakan pinggul yang boleh menyebabkan kesakitan berhubung masalah tulang belakangnya itu.

Selain itu katanya, pembelaan mempertikaikan kredibiliti Mohd Saiful kerana membuat laporan selepas dua hari kejadian didakwa berlaku.

Karpal juga memohon mahkamah menangguhkan keputusan terhadap kes tersebut bagi membolehkan Mohd Saiful dipanggil semula dan turut memanggil bekas anggota pasukan pendakwaan Timbalan Pendakwa raya Farah Azlina Latif, yang didakwa ada hubu­ngan sulit
dengan Mohd Saiful, sebagai saksi, untuk menafikan dakwaan itu di mahkamah.

Peguam Sankara Nair pula berhujah, sekiranya benar pintu di kondominium itu berkunci, siapakah yang menghidangkan kopi dan karipap yang didakwa dimakan Anwar dan Mohd Saiful selepas kejadian liwat tersebut.

Hujahan bersambung 1.30 tengah hari ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: