25 Mac 2011

Perak perlu pelan jangka panjang atasi banjir

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH, 25 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) bersimpati terhadap penduduk di sekitar Daerah Kerian yang mengalami bencana banjir seperti tiada kesudahan.

Ini, kata ketuanya, Zawawi Hassan kerana saban tahun mereka dilanda banjir, seolah-olah tiada usaha Kerajaan Negeri Perak bagi mengatasinya.

Katanya, penduduk sudah kerap kali membuat aduan kepada jabatan-jabatan berkenaan tetapi respons yang diterima menyalahkan penduduk tentang penggunaan air.

“DPPN Pk melihat satu kerangka pelan jangka masa panjang perlu bagi memastikan bencana banjir di daerah sekitar Kerian serta zon utara dapat dirancang bagi tujuan mengatasinya,” ujarnya.

Katanya, walaupun ada pihak mengatakan punca utama daripada banjir tersebut datangnya dari pembinaan landasan keretapi, tetapi sudah tentu semua jaminan sebelum pembinaan tersebut telah ditetapkan.

Justeru, beliau berharap pihak kerajaan negeri mencari inisatif konkrit bagi memastikan satu projek bagi mengatasi banjir dapat dibentuk dan dirancang dengan rapi.

Tambahnya, perancangan tersebut diharap akan memastikan punca utama akibat bencana banjir tersebut tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

Dalam masa yang sama, ujarnya DPPN Pk berharap kerajaan negeri dapat memohon sumbangan khas daripada Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa-mangsa banjir tersebut.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Negeri Perak telah membuat sumbangan pendahuluan sebanyak RM300 satu keluarga tetapi sumbangan ehsan daripada Kerajaan Pusat juga amat diperlukan kepada seluruh mangsa banjir tersebut.

Katanya, Kerajaan Pusat dahulu telah memberikan bantuan khas kepada mangsa banjir seperti di Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan terbaru di Johor sebanyak RM500 satu keluarga.

“DPPN Pk berharap pihak kerajaan negeri agar memohon bantuan khas tersebut untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang semangkin bertambah di Daerah Kerian tersebut,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: