28 Safar 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
(Suhakam) menamatkan siasatan awam ke atas kejadian semasa dan selepas
perhimpunan 28 April tahun lalu, 29 hari selepas pendengaran pertama
pada 5 Julai 2012.
Sejumlah
sebanyak 49 saksi termasuk 19 orang awam, empat anggota media, 18
anggota polis dan lapan pakar profesional telah memberikan keterangan
mereka di hadapan tiga anggota Panel Siasatan yang dipengerusikan oleh
Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr
Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Khaw Lake Tee (gambar) memberitahu kebanyakan orang
awam dan media hadir atas kehendaknya sendiri manakala anggota polis
dipanggil berdasarkan senarai nama yang telah diserahkan oleh Polis
Diraja Malaysia atau keterangan saksi semasa pendengaran awam.
Menurutnya, pendengaran semalam, tiga pemerhati mewakili Polis Diraja
Malaysia, Majlis Peguam dan Perhimpunan Bersih 3.0, telah dijemput
untuk membuat penghujahan mereka kepada Panel untuk dipertimbangkan.
“Panel akan menimbang semua keterangan dan penghujahan dalam
penyediaan laporan yang dijangka siap dan dikemukakan awal Februari.
Suruhanjaya telah mula mengumumkan siasatan awam pada 21 Mei 2012,”
ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, siasatan itu dijalankan susulan daripada aduan dan
memorandum yang diterima oleh Suhakam atas dakwaan penggunaan tenaga
yang tidak seimbang oleh pegawai penguatkuasa ke arah peserta dan
anggota media semasa dan selepas perhimpunan awam 28 April.
Katanya, Suhakam juga telah menurunkan pasukan pemantau semasa perhimpunan tersebut.
“Ini adalah siasatan kesembilan awam yang dijalankan oleh Suruhanjaya
sejak penubuhannya, di mana separuh daripada jumlah yang dijalankan
berikutan aduan dan memorandum mengenai penyalahgunaan kuasa dan
penggunaan kekerasan yang tidak seimbang dalam menyuraikan orang ramai
semasa perhimpunan awam,” jelasnya.
Dalam melaksanakan perlindungan dan promosi hak asasi manusia,
ujarnya Suhakam mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan berkenaan dengan
pelanggaran hak asasi manusia dan sekiranya mewajarkan sebuah siasatan
diadakan, Suruhanjaya, di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia 1999 (Akta 597), mempunyai kuasa untuk memperoleh dan menerima
semua keterangan dan memanggil mana-mana orang untuk memberikan
keterangan.
Dalam hal ini, jelasnya lagi Suhakam ingin menegaskan bahawa kuasa
untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan pencabulan hak asasi
manusia berasal dari Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia 1999.
Dalam menjalankan siasatan itu, katanya Suhakam menunaikan kewajipan
sebagai badan berkanun dan tanggungjawabnya untuk melindungi dan
mempromosi hak asasi manusia di negara ini seperti yang dimandatkan oleh
Akta 597.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan