11 Januari 2013

Ribut salji landa Baitulmuqaddis

28 Safar 1433H. [MOD] -




BAITULMUQADDIS - Ribut salji yang jarang berlaku telah melanda kawasan utara Israel dan melumpuhkan pengangkutan awam di Baitulmuqaddis semalam.

Ia merupakan ribut salji yang terburuk sejak 20 tahun lalu sekali gus menyebabkan beberapa batang jalan raya dan sekolah terpaksa ditutup.

Seorang pegawai sebuah agensi bencana di Baitulmuqaddis, Elisha Peleg meminta penduduk tidak keluar ke rumah ekoran ribut salji itu.

Sebuah stesen radio tentera Israel memberitahu, salji setebal 10 sehingga 15 sentimeter memenuhi Baitulmuqaddis.

Kawasan pekarangan Masjid Al-Aqsa juga turut dipenuhi dengan salji.

Di Ramallah, Tebing Barat, Palestin, sejumlah penduduk termasuk kanak-kanak bermain salji.
Seorang penduduk, Dawla Suleiman, 23, saling membaling bola salji dengan rakan-rakannya.
"Ini merupakan hari yang indah. Ia merupakan hari untuk bermain dan bergembira (bermain salji)," katanya.
Seorang penduduk di Kampung Qusra, Tebing Barat, Abdelhamid Qusrawi berkata, salji yang turun itu adalah yang paling lebat pernah dilihatnya.

"Pada tahun 1991, kami pernah melihat lebih banyak timbunan salji.
"Bagaimanapun, selepas 10 tahun, hari ini (semalam) kami menyaksikan salji turun dengan lebat ," tambahnya. 

Menurutnya, dia suka dengan salji.

"Saya keluar rumah dan bermain dengan beberapa anak saudara saya," katanya.

Abdelhamid berkata, dia membaling bola salji ke arah beberapa anak saudaranya. 

Sementara itu, salji juga turun di Damsyik, Syria walaupun negara tersebut dilanda pertempuran antara penduduk tempatan yang menentang Presiden Bashar Al-Assad.
Salji juga kelihatan di bandar Homs.

Pertempuran antara penduduk tempatan dengan tentera Bashar bermula sejak Mac 2011.
Kumpulan penentang yang terdiri daripada rakyat tempatan bertindak menentang Bashar kerana beliau dianggap gagal membawa pembaharuan dan kebebasan hak bersuara.

Lebih 43,000 orang dilaporkan telah terbunuh di Syria.

Salji juga turun di sempadan Lebanon dengan Israel.

Di Jordan, pemerintah negara itu, Raja Abdullah II mengarahkan pihak tentera membantu mangsa-mangsa yang terperangkap akibat salji.
Ribut salji itu turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus di Lebanon, Jordan dan Israel. - Agensi

Tiada ulasan: