20 September 2011

Polis Perak tembak mati empat anggota "Geng Doll"

ANGGOTA polis memeriksa lokasi kejadian empat penjenayah di tembak mati selepas berbalas tembakan di dalam sebuah kereta Proton Waja yang dipercayai dicuri, di Jalan Changkat Larang, Batu Gajah, malam tadi. - Foto Ikhwan Munir

22 Syawal 1432H. [MOD] -

IPOH: Empat lelaki warga asing dipercayai anggota "Geng Doll" mati ditembak polis dalam satu kejadian berbalas tembak di Jalan Changkat Larang, Pengkalan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan, berkata menerusi kejadian itu, pihaknya juga percaya berjaya menyelesaikan 18 kes samun bersenjata di beberapa daerah di negeri tersebut.

Mengulas kejadian 9.30 malam itu kepada media, di sini, hari ini, Shukri berkata, sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta yang dinaiki empat lelaki terbabit yang kemudian memecut apabila dihampiri kenderaan polis.

"Kereta itu kemudian melanggar bahu jalan dan cuba mengundur dengan laju sebelum melanggar kereta pasukan polis.

"Seorang daripada lelaki berkenaan kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah kereta polis semasa kereta polis itu cuba menghampiri kereta suspek untuk melakukan tangkapan," katanya.

Beliau berkata, tiga lagi suspek kemudian keluar dari kereta tersebut dengan bersenjatakan parang panjang dan cuba menyerang anggota polis.

Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri dan kesemua suspek mati di tempat kejadian, katanya.

Shukri berkata, pihaknya tidak menemui sebarang pengenalan diri pada semua suspek dan mereka dipercayai berusia antara 30 dan 40 tahun.

Polis menemui sepucuk pistol, sebutir peluru, tiga bilah parang, dua komputer riba, dua telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM1,870 dari kereta suspek, katanya.

Siasatan juga mendapati kereta jenis Proton Waja yang digunakan mereka adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di sini minggu lalu.

Shukri berkata, kumpulan itu bergerak aktif sejak awal tahun dan setakat ini sebanyak 18 kes dilaporkan di sekitar daerah Perak Tengah, Batu Gajah, Ipoh dan Sungai Siput. - BERNAMA

1 ulasan:

nama aku din berkata...

bila dh mati mesti ada pistol dgn parang panjang, mcm besa dgr jer, hahahaha...............