15 Mac 2011

Semua 242 pelajar Malaysia selamat

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Semua 242 pelajar Malaysia yang berada di 10 kawasan yang menerima gegaran berkekuatan lebih 6 pada skala Richter semasa gempa bumi melanda Jepun, Jumaat lepas dilaporkan selamat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, berkata pelajar berkenaan adalah dari 20 institusi pengajian tinggi (IPT) di Sendai yang mengalami gegaran kuat.

Katanya, berdasarkan rekod Japan Education Student Organization, jumlah pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Jepun adalah seramai 2,465 orang termasuk 1,327 tajaan kerajaan Malaysia, 201 kerajaan Jepun dan 937 pelajar persendirian.

“Bagaimanapun, jumlah pelajar yang berdaftar dengan kedutaan adalah seramai 1,521 orang,” katanya menjawab soalan tambahan John Fernandez (DAP-Seremban).

Fernandez ingin tahu mengenai usaha dilakukan kerajaan supaya pelajar Malaysia di luar negara berdaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia atau kedutaan termasuk di Jepun yang didakwa terdapat pelajar gagal dikesan selepas gempa bumi dan tsunami melanda negara itu.

Dr Hou berkata, Wisma Putra akan menyelaraskan operasi di Jepun dan semua pihak termasuk pelajar dan ibu bapa perlu mendapatkan nasihat dan arahan seterusnya.

Menjawab soalan asal Fernandez, beliau berkata, pelajar Malaysia berdaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia adalah sembilan orang di Singapura, 124 di China, 3,811 di United Kingdom, 948 di Amerika Syarikat, 513 di Perancis dan 672 di Jerman.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: