19 Jun 2012

Pesawat Pakistan diperiksa disyaki bawa pengganas

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Airbus 310 milik syarikat penerbangan Pakistan diarahkan menjalani pemeriksaan rapi sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin selepas polis menerima maklumat pesawat itu membawa penumpang disyaki pengganas.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, pesawat itu yang baru tiba dari Karachi, dipindahkan ke ruang khas berhampiran Terminal Satelit untuk pemeriksaan menyeluruh oleh Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman yang dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat.

Sumber memberitahu, selepas pemeriksaan dilakukan tiada objek mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan ditemui dalam pesawat itu yang dibenarkan berlepas semula ke Karachi melalui Dubai, kira-kira empat jam kemudian seperti dijadualkan.

“Dalam kejadian semalam (Ahad), polis menerima maklumat ada cubaan meletupkan beberapa pesawat di KLIA oleh seorang anggota pengganas yang dikatakan cuba memasuki negara ini dengan menaiki pesawat dari Pakistan.

“Bertindak atas maklumat itu, Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan, namun tiada sebarang objek mencurigakan ditemui di dalam pesawat berkenaan dan sekitar kawasan lapangan terbang,” katanya.

Bertindak atas maklumat diterima, seorang ahli perniagaan yang tidak didedahkan identitinya ditahan bersama isteri dan tiga anak mereka bagi membantu siasatan berhubung pembabitannya dalam mana-mana kumpulan pengganas tempatan mahupun antarabangsa.

Siasatan mendapati lelaki terbabit bersama keluarganya berkunjung ke Malaysia atas urusan perniagaan dan rekod perjalanan menunjukkan dia sudah beberapa kali berkunjung ke sini atas urusan perniagaan dan bercuti.

Lelaki itu dan keluarganya dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Semakan rekod tidak menunjukkan lelaki itu adalah seorang pengganas.

berita harian/-

Tiada ulasan: