19 Jun 2012

Salahuddin berbesar hati dipelawa debat

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan bertemu dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dalam Debat Sinar Harian, jam sembilan malam.

Debat bertajuk Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi akan berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 17, Shah Alam.

Debat itu akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Salahudin yang berbesar hati menerima jemputan debat itu berkata, itulah peluang untuk beliau menyumbangkan idea dan melahirkan pemikiran yang boleh diterima semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

"Inilah sumbangan yang boleh saya berikan kepada mereka yang mahukan politik yang sihat.

"Kita mahukan hujah berdasarkan fakta, bukan berasaskan sentimen, emosi dan politik murahan seperti fitnah dan sebagainya. Rakyat perlu diberi kedewasaan," kata beliau kepada Harakahdaily..

Katanya lagi, beliau yakin Saifuddin juga dapat menterjemahkan pemikiran baru kepada masyarakat.

"Saya telah banyak kali berkongsi pentas dengan Datuk Saifuddin sama ada dalam televisyen atau di pentas universiti. Saya yakin ada pemikiran baru yang akan diterjemahkan," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: