19 Jun 2012

Padah mandi sungai

29 Rejab 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Keriangan sekumpulan kanak-kanak mandi di Sungai Golok, dekat Kampung LimauPurut petang kelmarin berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Muhammad Azri Mustakim, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Rahmat di sini dikatakan keluar mandi bersama rakan-rakannya tanpa pengetahuan datuk dan neneknya.

Mangsa dipercayai hanya sempat mandi seketika sebelum hilang dibawa arus Sungai Golok itu.

Ketika operasi mencari mangsa, penduduk menggunakan pukat bagi mengesan mangsa dan usaha itu membuahkan hasil apabila mayat mangsa ditemui kira-kira 7.15 malam kelmarin tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang.

Datuk mangsa, Mat Salleh Awang Soh,70, berkata, dia hanya sedar cucunya tidak ada di rumah setelah bangun dari tidur petang semalam dan tidak menyangka cucunya akan bangun awal.

Sebelum kejadian dia sempat melihat arwah bermain dengan cucunya berusia lima bulan di kediamannya.

Menurutnya, selepas itu dia bertanyakan cucu-cucunya yang lain mengenai Muhammad Azri namun tidak seorang pun tahu tempat arwah berada ketika itu.

“Selepas menyedari dia tidak ada di rumah, saya bertanyakan jiran tetapi tidak seorang pun tahu di mana cucu saya berada ketika itu sehinggalah penduduk kampung datang memaklumkan dia lemas selepas saya ulang Sembahyang Asar.

“Selepas dimaklumkan tentang kejadian, saya terus ke sungai bagi melihat keadaan tempat cucu saya dilaporkan lemas bersama penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian, petang kelmarin.

Mat Salleh berkata, dia kemudian memaklumkan kejadian kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum meninggal cuma dia tidak mahu mengaji al-Quran pada malam kejadian.

“Kebiasaannya saya bawa dia ke surau sembahyang Maghrib berjemaah, selepas itu saya mengajar mengaji, tetapi malam itu dia terus pulang ke rumah menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen memandangkan dia begitu minat bola.

“Saya pasrah dengan kehilangan arwah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga mayatnya ditemui,” katanya.

Nenek mangsa, Esah Mat Nor,60, berkata, sekiranya mengetahui arwah hendak ke sungai, dia melarangnya kerana arwah sentiasa akur dengan larangannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat itu lemas ketika mandi manda bersama tiga lagi rakan di Pengkalan Awang, Kampung Limau Purut dalam kejadian, 5.30 petang kelmarin.

"Dia ditemui dua jam kemudian oleh pasukan mencari Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada pukat berdekatan lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut mandi bersama rakan namun malang tidak berbau apabila mereka mandi di kawasan pasir jerlus.

“Pangkalan Awang yang berhampiran Sungai Golok memang aktif dengan aktiviti mengorek pasir pihak berkenaan di negara jiran. Tempat kejadian memang bahaya kerana di dasar sungai ada pasir jerlus. Mangsa tidak dapat diselamatkan kerana ia berlaku dengan pantas,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mereka berempat mandi di tempat yang sama namun tiga rakan lagi dapat menyelamatkan diri.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: