17 November 2011

Iklan haram: Selangor bertindak tegas

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 17 Nov: Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT memaklumkan pihaknya sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap pengiklan haram di seluruh Negeri Selangor terutamanya melibatkan iklan pinjaman wang tidak berlesen ataupun Ah Long.

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tan Khiew menjelaskan kerajaan negeri sering berusaha dan memikirkan penyelesaian terbaik di dalam membanteras kegiatan pinjaman wang tidak berlesen terutamanya Ah Long.

"Kerajaan negeri menyokong penuh tindakan Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang melaksanakan tindakan pembatalan talian telefon yang dipaparkan pada iklan haram dengan menyerahkan nombor-nombor tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan pembatalan talian telefon.

"Dalam pada masa yang sama kerajaan negeri sering mengingatkan setiap PBT untuk bertindak segera dengan menanggalkan iklan-iklan haram yang ditampal ditempat awam tanpa menunggu arahan dari pihak atasan," jelasnya.

Selain daripada itu pihak PBT juga mengambil tindakan pemantauan secara berkala dan menjalankan aktiviti menanggalkan iklan-iklan haram yang ditampal.

"Dalam pada masa itu juga PBT akan menyerahkan nombor-nombor yang dipaparkan pada iklan haram kepada SKMM untuk tindakan pemotongan talian telefon.

"Terdapat juga sesetengah PBT yang melaksanakan penggunaan sejenis cecair 'anti sticker' di kawasan pembangunan baru dan kemudahan utiliti bagi menghalang penampalan iklan-iklan baru," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pagi tadi.

Ronnie Liu yang menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Kota Alam Shah M.Manoharan berhubung dengan tindakan kerajaan negeri terhadap kegiatan pinjaman wang tidak berlesen ataupun Ah Long.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor di bawah Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) adalah satu usaha untuk mengatasi masalah rakyat Selangor membuat pinjaman dari Ah Long.

Fungsi utama program MiMBAR ini adalah membantu golongan golongan usahawan kecil di kawasan bandar bagi memajukan perniagaan serta menambah pendapatan mereka.

Usaha kerajaan ini adalah untuk memberi peluang kepada usahawan kecil mendapat pinjama serta dalam masa yang sama ia dapat mengelakkan peniaga-peniaga kecil dari membuat pinjaman dari Ah Long selain daripada pemantauan yang dilakukan oleh PBT-PBT terhadap penghapusan iklan-iklan haram.

harakahaily/-

Tiada ulasan: