17 November 2011

Hayati 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali'

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 17 Nov: "Sesiapa yang ingin menjadi calon pada pilihan raya nanti perlu menghayati serta meresapi setiap isi kandungan di dalam buku ini, barulah layak untuk memikul tanggungjawab sebagai calon," jelas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyatakan demikian pada program pelancaran buku hasil tulisan mantan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berjudul 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali' di Shah Alam Convention Centre malam tadi juga memberitahu perjuangan yang ditunjukkan oleh Syed Husin adalah satu perjuangan politik bukannya bersifat peribadi.

"Jelas apa yang ditunjukkan dalam perjuang beliau bukan untuk kepentingan peribadi dan apa yang dilakukan olehnya perjuangan untuk sebuah landasan politik bagi mengembalikan arah politik negara.

"Ingat dalam kita menongkah arus perjuangan sekarang jangan kita lupa apa yang dulu kerana tanpa perjuangan dulu tidak akan yang sekarang," jelasnya.

Anwar berharap setiap pemimpin di dalam Pakatan Rakyat terutamanya PKR boleh meneliti setiap baris isi kandungannya kerana ia dapat memberi kesedaran pada setiap pembaca tentang langkah perjuangan yang sebenar.

Sementara itu Syed Husin menitik beratkan bukan pujian yang diperlukan oleh setiap individu jika ia merasakan dirinya seorang pejuang tetapi satu keikhlasan yang lahir dari jiwa individu tersebut.

"Bila menyebut tentang perjuangan nada yang sama kita akan katakan, saya ingin jelaskan kita mesti menteladani semangat perjuangan yang telah dilakukan oleh pihak sebelum kita.

"Perjuangan sebelum kemerdekaan kemudian timbulnya reformasi sehingga wujud tsunami politik negara pada pilihanraya yang lepas memberi isyarat yang jelas kepada kita bahawa Putrajaya sebenarnya sudah hampir dengan kita, jadi hayati perjuangan semoga impian kita tercapai," kata beliau.

Buku memoir itu merupakan kenangan hidup Syed Husin tentang perjuangan politiknya untuk menegak keadilan, kebajikan dan kebenaran bagi rakyat.

Ia juga menceritakan mengenai penyertaan, kegiatan, pengalaman dan pandangan beliau terutama berhubung beberapa peristiwa politik yang melibatkan rakyat.

Pendidikan, kegiatan akademik serta luar akademik diceritakan kerana sedikit sebanyak mempengaruhi sikap hidup Syed Husin, terutama terhadap bidang politik yang lebih setengah abad diceburinya.

Selain itu juga soal politik juga ditumpukan di dalam memoir itu berpusat kepada catatan-catatan tentang penyertaan dan pengalaman penulis serta sikap, pandangan dan fikirannya terhadap beberapa isu, perkembangan, peristiwa dan kontroversi politik yang berlaku dalam parti dan negara.

Memoir itu memberi latar belakang dan menjelaskan beberapa perkara seperti apa yang berlaku selepas kemenangan parti-parti pembangkang di lima negeri, pembentukan Pakatan, percubaan Umno-Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan terutama Selangor, percubaan Anwar yang dianggap gagal berkaitan 16 September dan sebagainya.

Memoir itu mendedahkan banyak juga hal mengenai pertimbangan yang tidak diketahui umum tentang mengapa dan bagaimana sesetengah keputusan politik telah diambil

Turut hadir semasa majlis perlancaran buku itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan juga beberapa pemimpin-pemimpin di dalam PKR.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: