28 Mei 2010

Geran pilihan raya: Gereja di Sibu berbalah

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Aidila Razak

Empat gereja Methodist yang menerima geran sejumlah RM1.75 juta daripada kerajaan pada pilihan raya kecil Sibu yang lalu tidak bercadang memulangkan wang berkenaan meskipun didesak berbuat demikian atas alasan integriti.

Antara desakan itu dibuat oleh sebuah blog oleh gereja Methodist yang juga ahli jawatankuasa disiplin PKR, Goh Keat Peng, yang berkata penerimaan wang ini memberika isyarat seolah-olah pihak gereja menerima ‘gejala politik wang’.

“Jika kita terima wang itu, kita menghantar isyarat kepada kerajaan sekarang ataupun pada masa depan, sama ada BN ataupun Pakatan, bahawa gereja.sanggup menerima wang dalam keadaan seperti itu,” tulisnya.

“Mesejnya, berikan kami tawaran, gereja terbuka berhubung soal dana. Kita menggalakan pemberian wang yang digunakan untuk memancing undi. Adakah terdapat tawaran yang lebih tinggi?...”

Pengerusi Gereja Methodist Sing Ang Tong, Robert Kwang bagaimanapun tidak bersetuju dan berkata Goh, yang merupakan bekas setiausaha ekesekutif Persekutuan Kristian Malaysia tidak mempunyai hak untuk mendesak wang itu dipulangkan.

Beliau sebaliknya menuduh Goh sebagai “bongkak’ dan membuat kenyataan “liar” dan berkata sebagai ahli PKR, pandangannya berat sebelah dan berkepentingan politik.

Kwang mempertahankan tindakan gereja menerima wang itu dengan alasan geran kerajaan itu ‘bersih’ kerana sumbernya berpunca daripada pembayar cukai.

Beliau berkata geran RM400,000, yang diberikan sehari sebelum pilihan raya adalah “peluang khas yang diberikan oleh Tuhan” dan untuk itu, gereja seharusnya berterima kasih.

“Siapa dia (Goh)? Apa salah kita menerima geran itu?” soal Kwang apabila dihubungi hari ini.

Nada yang sama disuarakan oleh Pastor Tai dari Gereja Methodist Hwai An Tong yang berkata geran RM350,000 yang diperolehi mereka tidak akan dipulangkan kerana mereka mematuhi prosedur sebelum diberikan geran berkenaan.

“Kita membuat permohonan beberapa minggu sebelum tempoh berkempen, membekalkan segala dokumen dan juga menghadiri beberapa awwancara bagi menyokong permohonan berkenaan,” katanya.

“Tetapi kerajaan memilih memberi geran semasa kempen pilihan raya kecil, kita tidak boleh berkata, ‘tak mau, beri kepada kita kemudian’.”

Katanya lagi, geran itu diberikan tanpa sebarang syarat.

Paderi Yong Hua Sing dari Gereja Methodist En Tao dan Paderi Clement Yap dari gereja Methodist Tien Tao yang masih-masing menerima RM500,000 juga tidak bercadang memulangkan wang berkenaan dan menafikan tindakan itu sebagai pembelian undi.

“Ia tidak kena-mengena dengan pembelian undi, kecuali pemberiannya semasa pilihan raya kecil. Ini bukan pertama kali kami menerima bantuan daripada kerajaan. Lagipun tidak salah menerimanya kerana dana itu adalah juga wang kita sebagai rakyat yang membayar cukai,” kata Yong.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Awanama berkata...

Raja Selangor marah orang "berpolitik" di Semejid, Raja Berook tak marah ke orang berpolitik di Gereja..