28 April 2013

Masih bersuara sebelum maut

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

kemalangan

Penduduk kampung melihat kereta mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil: Kumaran.
DURIAN TUNGGAL - Sebuah kereta berhenti di tengah jalan sebelum bergerak semula dan terbabit dalam kemalangan di Jalan Panchor, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, kenderaan dipandu mangsa, MS Kumaran, 23, pada mulanya dikatakan berhenti di tengah jalan, kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan.

Tindakannya itu menyebabkan kereta jenis Proton Wira dipandunya nyaris dirempuh kenderaan lain berikutan kedudukan jalan itu yang berbukit.

Menurut sumber, mangsa kemudiannya bergerak menghala ke bandar Alor Gajah dalam keadaan terhoyong-hayang sehingga jalan berselekoh.

"Kereta berkenaan kemudian hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori pasir yang cuba mengelak.

“Sejurus kejadian, mangsa dilihat dalam keadaan tenat dan masih mampu bersuara perlahan, bagaimanapun meninggal dunia sebaik sahaja berjaya dikeluarkan dari kereta,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori terbabit, Chen Teck Lye, 58, berkata, dia dari arah Machap dalam perjalanan untuk menghantar muatan pasir ke sebuah tapak projek di Durian Tunggal.

“Dalam jarak beberapa ratus meter sebelum lokasi kejadian, saya nampak kereta mangsa sudah meluncur masuk ke laluan saya. Saya terus tekan hon dan brek.

“Saya paut stereng ke kiri sambil berharap kereta itu masuk semula ke laluannya, tapi tidak. Dalam keadaan lori terhoyong hayang kerana mengelak, saya terpaksa rempuh bahagian tepi sebelah kiri kereta itu yang kemudian terhumban dalam belukar,” katanya.

Menurutnya, dia sempat melihat mangsa dalam keadaan tenat serta merintih kesakitan sebelum dibantu orang awam keluar dari kereta.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sinar/-

Tiada ulasan: