20 Februari 2012

Salah petikan: Guan Eng tuntut Star mohon maaf

27 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - 7:30AM Feb 20, 2012
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menuntut akhbar harian berbahasa Inggeris the Star membuat permohonan maaf dan menarik balik petikan yang didakwanya salah semasa perdebatan beliau dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Dalam satu kenyataan medianya, Lim merujuk kepada petikan yang disiarkan menerusi artikel yang bertajuk “What they said” atau “Apa mereka katakan" yang diterbitkan pada halaman enam akhbar itu, semalam.

Lim menafikan bahawa beliau mengeluarkan kata-kata berikut: "Kami tidak bersetuju Perdana Menteri mesti sentiasa terdiri daripada orang Melayu kerana kami mahu rakyat yang membuat keputusan".

Walaupun Lim menerima hakikat bahawa Star condong bagi memihak kerajaan dan menerbitkan "laporan berat sebelah" mengenai perdebatan kerana ia dimiliki oleh MCA, namun beliau tidak boleh menerima petikan yang diada-adakan sedangkan kayanya, berliau tidak pernah berkata demikian.

"Petikan yang dikatakan dikeluarkan oleh saya adalah palsu dan tidak benar kerana tiada rujukan sekalipun pernah dibuat oleh saya mengenai isu ini yang tidak ditimbulkan semasa perbahasan.

"Oleh kerana perdebatan ini dijalankan dalam bahasa Mandarin, saya lebih suka untuk menganggap ini adalah satu kesilapan dalam pemahaman oleh akhbar Inggeris, walau pun Star dimiliki oleh MCA," katanya.

Lim menuntut Star menarik balik artikel itu dan membuat permohonan maaf sepenuhnya pada halaman yang sama enam.(MK)

Tiada ulasan: