20 Februari 2012

Isteri dalang bunuh pemandu

27 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Terdesak rancang komplot selepas suami dapat hidu hubungan terlarang

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai motif pembunuhan seorang pemandu lori, M Ganesan, 31, yang ditikam di rumahnya di Flet Taman Petaling Utama, Jalan PJS 1/52 di sini, Khamis lalu terbongkar selepas polis mendapati pembunuhan itu sebenarnya didalangi oleh isterinya sendiri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata wanita berusia 34 tahun itu dipercayai terdesak melakukan jenayah berkenaan kerana tidak mahu mangsa menjadi penghalang hubungan cintanya dengan seorang penganggur berusia 22 tahun yang terjalin sejak setahun lalu.

“Selepas hubungan terlarang itu dihidu oleh suaminya, wanita berkenaan panik dan merancang satu komplot untuk membunuh mangsa dengan dibantu ‘kekasihnya’ kerana tidak mahu mangsa menjadi penghalang hubungan cinta mereka.

“Mereka mengupah beberapa lelaki yang mana dua daripadanya adalah pelajar sebuah sekolah menengah, di sini berusia 16 tahun dengan menjanjikan upah lumayan sebanyak RM5,000 sekiranya berjaya membunuh mangsa,” katanya pada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, komplot berkenaan terbongkar melalui soal siasat yang dilakukan terhadap empat remaja berkenaan yang berjaya dicekup sehari selepas pembunuhan itu seterusnya menolak telahan orang ramai sebelum ini yang mengatakan mangsa mati akibat pergaduhan antara kumpulan samseng.

“Selepas hubungan sulit itu terbongkar, mangsa ada bertelagah dengan kekasih isterinya yang juga jiran mereka dan akibat rasa tidak puas hati, kedua-dua suspek (isteri mangsa dan kekasihnya) merancang membunuh mangsa.

“Sehingga kini, kita masih memburu seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai ada kaitan secara langsung dengan pembunuhan ini selain berjaya menahan lapan suspek, termasuk pasangan kekasih itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap pendedahan hasil siasatan kes ini dapat meredakan keresahan orang ramai, terutama penduduk setempat yang sebelum ini berasakan kejadian itu ada kaitan dengan masalah gangsterisme atau kumpulan samseng.

Pada 16 Februari lalu, berlaku pergaduhan antara Ganesan dan beberapa rakannya sebelum dia ditikam di badan serta tangan di depan isteri serta anak perempuan berusia empat tahun di hadapan rumah mereka.

Mangsa yang cedera parah mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.(BH)

Tiada ulasan: