14 Februari 2011

Tabung Buluh: PAS kembali kepada asas

11 Rabiul Awal 1432 H.

RAWANG, 14 Feb: PAS kembali pendekatan asas bahawa parti Islam itu hidup atas keringat dan perjuangan para ahlinya apabila melancarkan Tabung Buluh PRU-13 malam tadi di Bandar Tasik Puteri kira-kira 15 km dari sini.

Projek itu dilancarkan oleh Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dalam satu majlis penuh simbolik.

"Kenapa kita pilih tabung buluh untuk mengumpul dana. Ini kerana kita ingin memberitahu pemimpin yang terpilih untuk menjadi calon dalam pilihan raya bahawa mereka menang atas sokongan dan dokongan ahli-ahli bawahannya bukannya atas kehebatan mereka.

"Kita yakin inilah yang akan mengikat kita walau setinggi mana wakil rakyat kita itu naik nanti," kata Tuan Ibrahim ketika melancarkan tabung itu.

Pelancaran ini dibuat ketika seorang demi seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat meninggalkan gabungan parti dalam gabungan itu dan menjadi anggota bebas. Yang terakhir adalah V Gobalakrishnan anggota Parlimen Padang Serai, Kedah.

Di majlis itu, Tuan Ibrahim telah menyerahkan tabung buluh kepada lima ketua-ketua cawangan PAS di sekitar kawasan pelancaran itu iaitu di Bandar Tasik Puteri, satu kawasan penempatan penduduk yang baru dibuka kira-kira 10 tahun lalu.

Sebelum itu, beliau bersama Dr Hatta melancarkan video klip yang dibuat khas untuk majlis pelancaran ini.

Dengan penduduknya seramai lebih 30,000 dan 95 peratus berbangsa Melayu, Bandar Tasik Puteri dikira subur untuk menjadi tapak perkembangan PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor.

Tabung buluh itu dijual kepada ahli-ahli PAS. Mereka pula akan mengumpul wang siling yang berbaki dalam poket mereka sehingga pilihan raya umum ke 13 nanti.

Tabung itu akan diserahkan kepada calon-calon PAS yang bertanding dengan sekeping nota bahawa inilah sumbangan mereka untuk perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

"Kita yakin sumbangan ini akan menjadi ikatan roh antara calon kita dan para ahli agar mereka tidak terlibat dengan tragedi lompat parti dan seumpamanya," kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim juga berharap, selepas ini semua kawasan dan cawangan PAS di seluruh negara mengambil pendekatan ini untuk mengumpulkan dana pilihan raya PAS menjelang PRU ke 13.

Menurut pengarah projek ini, Mazlan Moin mereka bersedia untuk membekalkan tabung-tabung buluh kepada mana-mana cawangan atau kawasan PAS yang hendakkannya.

Di majlis itu, lebih 50 buah tabung dibeli oleh ahli-ahli dan penyokong PAS di situ.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: