14 Jun 2012

Empat nelayan disyaki jual dadah tumpas di tangan polis

24 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH – Kepantasan sepasukan anggota polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah berjaya menahan empat lelaki sedang berurusan jual beli dadah di sebuah rumah tinggal dekat Kampung Guan, Kuala Sungai Baru, dekat sini, Isnin lalu.

Operasi kira-kira 2 petang itu diketuai Inspektor Norhasrina Johari bersama tujuh anggota dilakukan atas maklumat awam yang mengesyaki sesuatu selepas menyedari kelibat individu keluar masuk dari rumah terbabit, disusuli intipan seminggu selepas itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, ketika serbuan, keempat-empat suspek yang merupakan nelayan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis yang sudah mengepung rumah tinggal itu.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika tangkapan dilakukan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Hasil pemeriksaan polis menemui satu beg komputer riba di bahagian dapur yang mengandungi 18 paket kecil lutsinar berisi dadah jenis heroin diletakkan dalam satu bekas gula-gula.

“Kesemua dadah yang dirampas itu seberat 33.15 gram dan nilai keseluruhannya dianggarkan RM1,000,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Umar Ali, rumah tinggal berkenaan yang terletak dalam kawasan perkampungan itu dijadikan port jual beli dadah dan dipercayai bekalan dadah berkenaan turut diedarkan kepada golongan penagih dadah lain di sekitar kawasan berkenaan termasuk sempadan Kuala Linggi.

"Kesemua empat suspek ini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Merbahaya 1952.

Sinar Harian

Tiada ulasan: