14 Jun 2012

Wanita maut dirempuh jentolak

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG - Belum genap sebulan seorang wanita Indonesia tiba di negara ini untuk menikmati kehidupan di sini terbunuh selepas dia dirempuh sebuah jentolak yang berundur ketika sedang mengemas kotak dalam sebuah kilang, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikenali Hazezah, 33, yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa tiba di negara ini pada Mei lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Hasrat dia ke sini untuk melawat rakan-rakan. Dalam masa yang sama dia turut membantu seorang kakak mengemas kotak dan kertas dalam kilang itu.

“Walaupun begitu, dia bukan kakitangan kilang itu tetapi dia cuma mengikut rakan- rakan untuk membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintenden Zawary Mahadi berkata, sebelum kejadian berlaku mangsa dipercayai sedang menyusun kotak di sebuah sudut dalam kilang terbabit.

“Dalam masa yang sama, sebuah jentolak yang dipandu lelaki warga Myammar yang dipercayai tidak sedar kewujudan mangsa di situ lalu mengundurkan kenderaan itu dan merempuh mangsa.

“Berikutan rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, rebah dan meninggal dunia di situ.

“Sejurus kejadian itu, kami dimaklumkan pemandu jentolak itu melarikan diri dipercayai ketakutan selain khuatir keselamatan dirinya berikutan kesilapannya itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, katanya, polis masih mengesan pemandu jentolak terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki terbabit diminta tampil ke Balai Trafik Klang Utara atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Zaini Abdullah di talian 03-32902222 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: