14 Jun 2012

Suspek cubaan culik masih dicari

24 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH - Polis masih mencari dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam cubaan menculik seorang murid tahun enam ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Lahat untuk menghadiri aktiviti Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Devi dalam perjalanan ke sekolah sebelum didatangi dua lelaki tersebut.

Bagaimanapun, kanak-kanak berusia 12 tahun itu terselamat apabila bertindak melompat keluar dari kereta penculik berkenaan ketika kenderaan itu menghampiri lampu isyarat trafik di pusat bandaraya ini.

Beliau berkata, pihaknya belum mendapat maklumat berhubung suspek terbabit namun masih meneruskan siasatan bagi menjejaki mereka.

“Kami sudah mengambil segala keterangan daripada mangsa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: