14 Jun 2012

PAC didesak segera mesyuarat 4 isu penting

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Pakatan Rakyat mendesak pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid memanggil mesyuarat dengan kadar segera bagi menyiasat kes-kes yang telah dipersetujui sebelum ini. (Gambar Hiasan)

Dalam mesyuarat PAC pada 5 Mac 2012, ahli-ahlinya telah bersetuju supaya pegawai-pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat berkanun kerajaan dipanggil untuk membincangkan empat isu yang penting.

Isu-isu yang telah dipersetujui bersama antaranya, Perbelanjaan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), Pembinaan Lapangan Terbang Kos Rendah (KLIA 2), Pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Kes Hutang Tan Sri Tajuddin Ramli yang dilupuskan.

Menurut Anggota PAC, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar, PAC perlu menyelesaikan empat isu terbabit yang melibatkan kerugian berbilion wang negara sebelum meluluskan Perbekalan Tambahan sebanyak RM`13 billion yang dibentangkan hari ini.

"PAC adalah jawatankuasa tetap parlimen, tempoh perkhidmatannya seperti parlimen, jadi sebelum parlimen dibubarkan jawatankuasa ini terus aktif. Cuma bila dan berapa kali kita boleh mesyuarat ia akan diputuskan atas persetujuan bersama," katanya.

Namun, katanya mesyuarat akhir Mac lalu secara bersama memutuskan untuk mengadakan mesyuarat seberapa segera untuk menyelesaikan kes-kes besar dari segi nilai dan integriti pengurusan kewangan negara.

"Kami ingin kemukakan perasaan kecewa kerana tiada mesyuarat yang dipanggil untuk membincangkan perkara-perkara terbabit selepas tiga bulan," katanya.

Misalnya, kata beliau kes pinjaman Tajuddin Ramli yang dilenyapkan diluar mahkamah sehingga kini menjadi tanda tanya dan perlu didedahkan.

"Kita minta PAC dimaklumkan apakah butiran dan perjanjian rahsia ini. Sekarang ini ada pula rang undang-undang perbelanjaan tambahan, jadi yang bermasalah pun kita tak selesai lagi nak tanmbah pula sebanyak RM13 billion," katanya.

Turut bersama dalam sidang media, Naib Pengerusi PAC Dr tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Telok Kemang Kamarul Bahrin Abbas dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Justeru katanya, isu pengurusan negara dipertanggungjawabkan mereka untuk menjaga pengendalian wang negara sebaik mungkin.

Harakah Daily

Tiada ulasan: