14 Jun 2012

Sukuk kekal: PAS mohon penjelasan pelaburan KWAP

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS memohon penjelasan kerajaan terhadap tindakan membenarkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melanggan sepenuhnya bahagian pertama RM1.0 bilion Sukuk Juniro Kekal terbitan Malaysian Airline System Bhd (MAS).

AJK PAS Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad mempersoal bagaimana pelaburan itu boleh dibuat sedangkan ianya sangat berisiko apatah lagi melibatkan wang pencen rakyat.

"Bon ini tidak ada penarafan, tidak ada jaminan, tiada tempoh masa dan sangat berisiko tinggi.

"Sebab itu kita mintak penjelasan kerajaan kenapa KWAP melanggan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

MAS sebelum ini menerbitkan Program Sukuk Juniro Kekal RM2.5 bilion, dengan bahagian pertama sebanyak RM1.0 bilion dilanggan sepenuhnya oleh KWAP.

Sukuk itu yang merupakan tunggak pelan pembiayaan syarikat penerbangan itu bagi meningkatkan modal asas, diurus oleh Maybank Investment Bank Bhd.

Sukuk kekal ini membolehkan syarikat itu memperbaiki lembaran imbangan dan nisbah hutang memandangkan ia diperakui sebagai modal ekuiti dalam standard perakaunan Malaysia, dan menyediakan kadar pembiayaan jangka panjang yang munasabah sebanyak 6.9 peratus setahun, katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata ini adalah kali pertama sukuk kekal diterbitkan di negara ini.

Menurutnya lagi, biarpun dibayar dengan kadar 6.9 peratus, namun ianya sangat berisiko apatah lagi ianya tiada tempoh matang dan tiada had masa.

Beliau juga mengingatkan bahawa MAS telah tiga kali diselamatkan atau ‘bailout’ oleh kerajaan.

Meskipun sukuk kekal tidak datang dengan jaminan oleh kerajaan, beliau amat khuatir bahawa ia akan berakhir dengan dana KWAP berdepan dengan risiko kerugian dan bakal sekali lagi diselamatkan oleh kerajaan atas nama menjaga kepentingan dana rakyat.

Justeru beliau mahukan semua terma dan syarat-syarat perjanjian pelaburan sukuk itu didedah kepada umum atas tuntutan ‘disclosure’ atau ‘keterbukaan’.

Beliau juga membangkitkan sejauhmana pematuhan Syariah produk 'perpetual bond' ini dan bertanyakan akan 'struktur kontrak' apa dalam syariah.

Tambah beliau lagi kedudukan Sukuk Juniro produk ini mendedahkan lagi KWAP kepada risiko tidak mendapat balik pinjamanya andainya MAS berdepan dengan masalah 'liquidation'.

Harakah Daily

Tiada ulasan: