09 Ogos 2008

Sukan Olimpik : Beijing sudah bersiap sedia

Pusat Media Antarabangsa Beijing (BIMC) telah mengadakan sidang akhbar . Dalam sidang akhbar itu, pegawai-pegawai dari jabatan berkenaan telah menjelaskan kepada orang awam tentang persiapan Sukan Olimpik Beijing dari aspek lalu lintas, keselamatan makanan dan perkhidmatan pelancongan. Mereka menyatakan bahawa Beijing sudah bersiap sedia untuk memastikan Sukan Olimpik dilaksanakan dengan jayanya.

Naib Ketua Pengarah Jawatankuasa Pengangkutan Beijing, Encik Zhou Zhengyu menyatakan bahawa sejak 20 Julai lalu, kerajaan Beijing telah mengambil beberapa langkah untuk menjamin kelancaran lalu lintas, seperti mengatur kenderaan supaya bergerak mengikut giliran berasaskan nombor pendaftaran kereta, sama ada ganjil atau genap, menjadualkan semula waktu kerja serta membuka 3 laluan kereta api yang baru, dan 34 laluan bas khas untuk Sukan Olimpik. Kata beliau, "Sejak langkah kawalan lalu lintas dilaksanakan, keadaan keseluruhan operasi lalu lintas di Beijing amat memuaskan. Dengan itu, kelancaran lalu lintas semasa berlangsungnya Sukan Olimpik pasti akan terjamin."

Tentang masalah kualiti udara Beijing yang menjadi tumpuan perhatian seluruh dunia, Naib Ketua Pengarah Biro Perlindungan Alam Sekitar Beijing, Du Shaozhong menyatakan bahawa Beijing berkemampuan untuk menjamin kualiti udara semasa berlangsungnya Sukan Olimpik. Kata beliau, "Pada Julai lalu, kualiti udara Beijing telah menjadi bertambah baik berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Lebih-lebih lagi sejak siri langkah kawalan lalu lintas dilaksanakan, pelepasan bahan cemar di bandar ini telah kurang dengan ketara. Dengan itu, kami amat yakin bahawa kualiti udara akan baik sepanjang tempoh Sukan Olimpik ini."

Dalam bidang kesihatan awam pula, Beijing juga meningkatkan usaha untuk menjamin keselamatan makanan dan minuman bagi Sukan Olimpik. Kini, rangkaian sistem kawal selia keselamatan kualiti, iaitu "dari ladang ke meja makan", melalui pelaksanaan piawai dan peningkatan penyeliaan serta kawalan terhadap kualiti makanan telah diwujudkan di Beijing. Jurucakap pihak berkuasa bandar Beijing, Liu Zhi berkata, "Sebanyak 37 pasukan perubatan telah ditubuhkan untuk menyediakan pertolongan cemas kepada atlet dan tetamu di venue-venue Olimpik. Selain itu, 24 buah hospital yang disediakan "Laluan Hijau" juga telah bersiap sedia untuk menyediakan rawatan perubatan untuk tetamu dari dalam dan luar negara."

Ketika Sukan Olimpik 2008 ini berlangsung, Beijing dijangka menerima kunjungan seramai 3 juta orang pengunjung dari dalam dan luar negara. Seorang pegawai dariBiro Pelancongan Beijing menyatakan bahawa Beijing kaya dengan sumber pelancongan dan berkemampuan untuk memenuhi keperluan penginapan ketika Sukan Olimpik nanti. Selain itu, hampir 600 buah "Rumah Keluarga Olimpik" telah dipilih untuk menawarkan perkhidmatan penginapan kepada tetamu asing.

Menurut Liu Zhi, Beijing telah memperuntukkan kira-kira 280 bilion yuan RMB untuk melaksanakan pembinaan bandar infratruktur seperti pembekalan tenaga dan air dan lalu lintas. Kini, penduduk bandar Beijing juga bersiap sedia untuk menyambut kedatangan yang sedemikian ramai dari seluruh dunia.

Tiada ulasan: