04 November 2010

90 peratus jemaah haji M'sia wajib bayar dam

26 Zulkaedah 1431 H

Kira-kira 90 peratus daripada 26,000 jemaah haji Malaysia yang memilih mengerjakan ibadah haji Tamattuk pada musim haji ini dikehendaki membayar dam mengikut syarat-syaratnya.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah berkata dam yang wajib dibayar itu ialah dengan menyembelih seekor kambing atau satu pertujuh bahagian seekor lembu.

"Jemaah haji boleh memilih dengan membayar sebanyak 350 Saudi Riyal (SR) untuk seekor kambing iaitu mengikut harga pasaran, bagi seorang.

TH cuma memberikan perkhidmatan yang boleh diwakilkan kepadanya mengikut Ju'alah (wakil yang dilantik)," kata Tengku Aziz kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah.

Beliau berkata TH menawarkan perkhidmatan bayaran dam di kaunter kewangannya di Mekah dengan memotong dari akaun simpanan atau membayar tunai bagi memudahkan
jemaah haji tidak perlu bersusah payah menguruskannya sendiri.

"Sebenarnya ada lima kategori jemaah yang mengerjakan haji Tamattuk tetapi tidak dikenakan dam. Antaranya ialah mereka yang mengerjakan umrah dalam musim haji dan dia keluar dua marhalah (91 km) dari Tanah Haram atau lebih untuk berniat haji dan kemudian masuk semula ke Mekah untuk menunaikan haji," katanya.

Menurut Tengku Aziz jemaah haji tidak dipaksa mewakilkannya kepada TH dan boleh menguruskannya sendiri kerana perkhidmatan tambahan ini disediakan bagi membantu mereka yang sukar mencari kambing dan menyembelihnya.

Haji Tamattuk ialah jemaah haji yang menunaikan umrah dahulu dalam bulan haji dan kemudian mengerjakan haji pada tahun hijrah yang sama. Haji Qiran, jemaah haji mengerjakan umrah dan haji secara serentak dan mereka dikenakan dam.

Kira-kira 10 peratus lagi jemaah Malaysia yang mengerjakan Haji Ifrad iaitu menunaikan ibadah haji dahulu dan mengerjakan umrah kemudian tidak perlu membayar dam, kata Tengku Aziz.

Menurut beliau lazimnya pelaksanaan dam dijalankan setelah tamat musim haji oleh pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah dan daging akan diagihkan kepada fakir miskin di Mekah.

"Saya harap jemaah akan mewakilkan pembayaran dam kepada TH supaya mereka dapat mengerjakan ibadah dengan tenang. InsyaAllah kami akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya," kata Tengku Aziz.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

otaklunyai berkata...

tah yah lah baru sekarang nak bersyarah pasal 5 jenis haji tamatuk. kenapa masa kursus haji yang dilakukan oleh agen2 th dulu tak diberitahu betul2 sampai jemaah faham. Cakap mulut memang cantik... th tak paksa jemaah bayar dam melalui th, tapi apa pilihan yang ada kekita ini dalam keadaan manusia yang berjuta2 berada disana.. th lah jawabnya... tak kesahlah tu, tapi kenalah pantau sepaya tak ada kes2 makhluk2 yang mengambil kesempatan nak mentekedarah duit jemaah seperti yang lazim berlaku. takkan th tak tau... atau saja buat2 bodoh je. jangan lah begitu nanti Allah S.W.T bodohkan betul2 baru padan muka. uruskan lah dengan betul.

ini kalau dah dimalaysia lagi kakitangan tak jawap panggilan telefon pun th tak pantau, apatah lagi perkara2 yang berlaku di sana tu. kerjalah elok2 jangan plak nanti orang kata gaji je besar, elaun je besar, kereta freen je besar, hanpone free je canggih, pangkat je basar tapi kerja macam laknat...