04 Februari 2013

Hiburan: Agenda BN untuk melalaikan anak muda

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Firdaus Jaafar menegaskan Barisan Nasional (BN) menjadikan hiburan sebagai candu untuk mendekati rakyat terutamanya golongan anak muda.

Malah menurut beliau lagi, BN juga turut gagal untuk memahami budaya anak muda sekarang yang lebih memerlukan kepada bentuk pembangunan kesedaran rohani, dakwah, kebajikan mahupun pembangunan ummah.

"Kita melihat BN sehingga sekarang tidak pernah lari dari bentuk kelalaian dalam program yang mereka anjurkan terutama mendekati anak muda.

"Bagi mereka (BN) hanya pentingkan berseronok dalam menyajikan sesuatu untuk anak muda tanpa memikirkan kesannya, anak muda sekarang lebih memerlukan pembangunan minda dan kesejanteraan rohani dalam menghadapi masa akan datang," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Tambah beliau lagi, budaya yang diterap oleh Pakatan Rakyat amat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh BN apabila segala aktiviti yang diadakan kepada golongan tersebut lebih kepada sudut ilmiah dan juga pembangunan rohani.

Katanya lagi, perkara ini telah terbukti apabila Selangor dan juga negeri-negeri Pakatan Rakyat setiap kali sambutan tahun baru mahupun kemerdekaan walaupun terdapat sedikit hiburan tetapi unsur keagamaan diterap bersama.

"Sebelum ini kita melihat kepada sambutan hari belia di Putrajaya, tidak ada kesan langsung yang boleh diterap dalam minda anak muda.

"Walaupun mengetahui perkara tersebut tetapi mereka tetap meneruskannya di Pulau Pinang, melalaikan anak muda terus menjadi agenda mereka dengan harapan mereka terus mendapat sokongan dari golongan anak muda," sambung beliau lagi.

Ahli Parlimen Jerai itu turut mempertikaikan jumlah perbelanjaan sekitar USD300,000 hingga USD400,000 (RM932,100 hingga RM1,242,800) untuk persembahan ringkas selama 60 minit penyanyi pop Psy - yang popular dengan lagu Gangnam - pada 11 Februari ini semasa majlis rumah terbuka BN Pulau Pinang yang baginya adalah satu pembaziran.

"Bagi saya dengan jumlah yang sebesar itu, kerajaan sepatutnya membelanjakan kepada seluruh kaum Cina yang berada di Pulau Pinang apatah lagi sempena sambutan Tahun Baru Cina.

"Adakah BN ini tidak mengetahui ataupun tidak mahu mengetahui bahawa masih ramai kaum Cina yang memerlukan bantuan untuk mereka menyambut perayaan mereka, jadi bagi mereka (BN) lebih baik berbelanja untuk hiburan dari diberikan kepada rakyat," kata beliau lagi.

harakah/-

Tiada ulasan: