04 Februari 2013

Israel mengaku serang Syria

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



MUNICH - Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak memberi petunjuk semalam bahawa negaranya merupakan dalang satu serangan udara ke atas Syria pada Rabu lalu.

Sebelum ini, beberapa pegawai Amerika Syarikat menyatakan sasaran itu ialah senjata-senjata antipesawat yang dihantar untuk anggota-anggota Hezbollah.

"Saya tidak boleh menambah sebarang perkara berhubung apa yang anda telah baca di dalam surat khabar tentang apa yang berlaku di Syria beberapa hari lalu," katanya di sini.

Beliau berada di Jerman untuk menghadiri satu persidangan berhubung keselamatan dengan para diplomat dan pegawai pertahanan dari beberapa buah negara.

"Kami menyatakan bahawa kita tidak berpendapat bahawa ia sepatutnya dibenarkan untuk membawa senjata-senjata canggih ke Lebanon," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa kejatuhan Bashar akan berlaku tidak lama lagi.

Menurutnya, kejatuhan tersebut akan memberi tamparan hebat kepada Iran dan Hezbollah.

Beberapa pemimpin Israel pernah menyuarakan kebimbangan bahawa perang saudara di Syria mungkin telah menyebabkan Presiden Bashar Al-Assad kehilangan kawalan di negaranya termasuk ke atas senjata kimia.

Di Syria, Bashar menyatakan kepada seorang pegawai kanan Iran bahawa negaranya akan berdepan sebarang serangan luar.

Bashar menyatakan bahawa Israel menyerang sebuah kemudahan penyelidikan ketenteraan dekat Damsyik.
Ia merupakan kenyataan pertama Bashar berhubung serangan udara Israel.

Beliau membuat kenyataan itu ketika membuat pertemuan dengan perunding kanan nuklear Iran, Saeed Jalili.
Iran merupakan sekutu rapat Syria.

Saeed berikrar bahawa Iran akan terus memberi sokongan kepada rejim Bashar.
Syria juga berikrar akan menyerang balas serangan Israel itu.

Ketua Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Mohammad Ali Jafari berkata, pihaknya berharap Syria akan menyerang balas Israel.

Pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan berlaku sejak Mac 2011.

Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran tersebut berlaku.
Kumpulan penentang itu mahu Bashar digulingkan kerana mendakwa beliau gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia. - Agensi

Tiada ulasan: