Manado: Gunung Lokon yang terletak di Tomohon, Sulawesi Utara,
kembali meletus kira-kira jam 2 petang semalam (waktu tempatan) dengan
mengeluarkan kepulan asap dan debu setinggi 3,000 meter.
Ketua Pejabat Pemantau Gunung Berapi Lokon Dan Mahawu, Farid Ruskanda
Bima, berkata siri letusan itu berlangsung dari semasa ke semasa dengan
kekerapan harian. Kelmarin, katanya, gunung berapi itu meletus
sembilan kali dan pihak berkuasa mengklasifikasikan situasi di situ
berada di tahap ketiga. Sementara itu, sebuah lagi gunung berapi,
Gunung Rokatenda, di Pulau Palue, Nusa Tenggara Timur, juga meletus
kelmarin.
Agensi berita Antara melaporkan, sebahagian besar wilayah di Pulau Flores diselaputi debu dari gunung berapi berkenaan. “Rumah penduduk, terutama di utara Pulau Flores, diselaputi debu setebal kira-kira satu milimeter,” lapor agensi berita rasmi Indonesia itu. Jurucakap badan pemantau gunung berapi itu berkata, ketika letusan kelmarin, hujan turut berlaku menyebabkan debu dari situ menyelubungi sebahagian besar kawasan sekitarnya. “Letusan berlaku diikuti dengan dentuman dan suara gemuruh yang boleh didengar dari pos pemantau yang terletak 17 kilometer ke selatan Gunung Rokatenda,” katanya.
Kejadian itu juga, katanya, menyebabkan lahar gunung berapi mengalir
menuruni gunung berkenaan, manakala debu terapung sehingga 4,000 meter
dari permukaan laut.
Katanya, pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya berjaga-jaga kerana debu berkenaan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang teruk. “Untuk sementara, orang ramai diminta tidak keluar rumah, atau jika terpaksa, mereka mesti memakai topeng untuk mengelak diserang masalah pernafasan,” katanya. - Lensaindonesia.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan