19 Ogos 2021

Yang di-Pertuan Agong teliti dan serius tangani kemelut politik

 Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR: Pendekatan Yang di-Pertuan Agong memanggil 114 Ahli Parlimen menghadap baginda di Istana Negara, hari ini, menunjukkan Seri Paduka seorang yang cermat, teliti dan serius menyelesaikan kemelut politik negara secepat mungkin.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berpandangan dengan cara itu, Seri Paduka dapat memastikan Perdana Menteri yang akan dilantik kelak benar-benar mempunyai kepercayaan majoriti.

Beliau berkata, tindakan baginda itu juga dapat memastikan kejadian membabitkan Perdana Menteri sebelum ini yang tidak memperoleh sokongan majoriti, tidak berulang lagi.

"Semua tindakan ini adalah amat penting bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong benar-benar melaksanakan tugas selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff

"Khususnya untuk memastikan Perkara 43 (2) (a) yang mengkehendaki Seri Paduka melantik Perdana Menteri dalam kalangan seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu, dengan benar-benar berkesan.

"Saya optimis dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, permasalahan yang menimpa kerajaan sebelum ini tidak akan berulang lagi. Pembentukan sebuah kerajaan baharu yang lebih stabil ini dijangka akan menyaksikan kemelut politik yang melanda negara tidak berpanjangan, seterusnya memberi tumpuan pada usaha memerangi COVID-19," katanya.

Dengan memastikan Perdana Menteri yang dilantik benar-benar mendapat kepercayaan majoriti, Kamarul Zaman berkata, pendekatan dilakukan Yang di-Pertuan Agong bertujuan memastikan pendirian Ahli Parlimen terbabit bertepatan seperti apa yang terkandung dalam surat akaun.

Beliau juga berpandangan bahawa Seri Paduka mahu memastikan baginda tidak tersalah pilih, yang akhirnya memungkinkan Perdana Menteri yang akan dilantik gagal mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan.

"Sebab itulah juga Yang di-Pertuan Agong mengambil langkah tambahan dengan turut menitahkan supaya Perdana Menteri yang dilantik supaya segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau.

"Ia bagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, supaya tidak akan timbul sebarang pertikaian ke atasnya, sekali gus menjadikan proses pembuatan keputusan dapat dilakukan secara lebih telus dan terbuka," katanya. BH/-

Tiada ulasan: