10 April 2012

Padah guna logo halal swasta

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA - Empat premis restoran yang masih berdegil dan mempamerkan logo sijil halal swasta di sebuah pusat beli-belah terkenal di Subang Jaya dikenakan amaran oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam satu serbuan mengejut semalam.

Dalam operasi berkenaan, sebuah premis turut dikenakan notis amaran selepas didapati mempamerkan logo halal meskipun belum mendapat kelulusan daripada Jakim.

Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Adam Drahman berkata, kebanyakan pengusaha didapati dengan sengaja menampal logo halal tidak diiktiraf itu di premis dan dalam menu makanan masing-masing.

Katanya, Jakim kini sudah masuk fasa kedua menguatkuasakan undang-undang itu selepas memberi memberi nasihat kepada pengusaha premis makanan pada fasa pertama dari Januari hingga Mac lalu.

“Selepas berakhir pada Jun, tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pengusaha yang ingkar. Mereka boleh didenda sehingga RM5 juta di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita beri amaran supaya syarikat lebih peka dan segera turunkan atau tutup logo halal swasta yang dipamerkan kini,” katanya selepas menyerbu tiga premis di Subang Jaya dan sebuah premis kopitiam di Puchong, semalam.

Pihaknya kesal ada pengusaha yang masih dalam permohonan tetapi sudah meletakkan logo halal di premis makanan mereka.

“Sebenarnya tidak susah memohon sijil halal daripada Jakim kalau ikut prosedur, yang penting semua dokumen diperlukan termasuk salinan resit pembelian barangan makanan dan dokumen sijil halal barangan mencukupi.

“Kosnya lebih murah berbanding mengupah perunding yang mengambil kesempatan terhadap syarikat yang memohon sijil halal dengan bayaran ribuan ringgit,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya memastikan hanya logo sijil halal Malaysia diiktiraf Jakim di restoran yang dikunjungi mereka.

“Pengguna boleh berhubung dengan Jakim untuk membuat aduan sekiranya timbul keraguan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: