10 April 2012

Curi bateri pencawang, lelaki ditahan

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Tindakan seorang lelaki mencuri bateri di dalam pencawang milik syarikat telekomunikasi di Kampung Felda Mengkawang bernilai RM7,200 dan seorang peniaga barangan lusuh membeli barang curi membawa padah apabila kedua-dua mereka ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, dua anggota polis yang melakukan rondaan trafik cegah jenayah terserempak sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di hadapan kedai membeli barangan lusuh di Kampung Bukit Perah, Ajil pada jam 3 petang Februari lalu.

“Apabila polis menghampiri van itu, tiga lelaki yang mencurigakan, mereka memecut kenderaan menyebabkan polis mengejar. Walaupun diarah berhenti, mereka tidak mengendahkannya malah cuba menghimpit kereta polis.

“Sebuah lagi kenderaan polis ‘diturunkan’ untuk membantu menahan mereka namun menemui jalan buntu apabila berada di jalan mati di kebun getah Kampung Bukit Kolam, Ajil,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan pemeriksaan ke atas van menjumpai 17 biji bateri, dipercayai dicuri dari sebuah pencawang milik syarikat telekomunikasi di daerah itu.

Susulan itu, soal siasat dijalankan ke atas pengusaha kedai barangan lusuh dan polis berjaya menahan pemandu van berusia 28 tahun pada 1 April lalu.

“Polis kemudian melancarkan satu serbuan dan berjaya menahan seorang peniaga barangan lusuh berusia 38 tahun pada 3 April lalu.

“Dia kemudian menunjukkan lokasi di mana bateri yang sudah dibeli dan dijual pula kepada peniaga barangan lusuh di Kuala Terengganu. Pemeriksaan dilakukan menemui empat lagi bateri,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 28 tahun itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: