10 April 2012

Padah liat bayar sewa tertunggak

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Sikap gemar menangguhkan bayaran sewa bulanan premis menyebabkan lapan pemilik medan selera terpaksa berdepan dengan tindakan sita yang diambil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Pada operasi sitaan tunggakan gerai dan harta majlis yang dilakukan MBAS semalam, dua premis di Medan Selera Mergong dan satu premis di Sudut Selera Putra disita.

Ketua Unit Sewaan MBAS, Shaari Abdullah berkata, operasi yang disertai 25 penguat kuasa MBAS itu melibatkan gerai yang gagal menjelaskan tunggakan melebihi tiga bulan.

“Dua pemilik premis di Sudut Selera Putra menjelaskan separuh daripada jumlah tunggakan yang menyebabkan tiada tindakan diambil terhadap gerai mereka.

“Kita masih memberi peluang kepada pemilik premis sekiranya mereka mahu membuat bayaran walaupun separuh dan mereka perlu ke pejabat MBAS untuk kita memberi jadual pembayaran untuk masa akan datang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Shaari berkata, pada operasi kali ini jumlah tunggakan membabitkan RM22,720 manakala tunggakan tertinggi melibatkan gerai minuman di Sudut Selera Putra dengan jumlah tertunggak sebanyak RM5,600.

Menurutnya, pemilik gerai itu gagal membuat sebarang pembayaran menyebabkan peralatan perniagaannya terpaksa disita.

Tempoh tujuh hari waktu bekerja diberikan kepada pemilik untuk membuat bayaran bagi membolehkan mereka mengambil semula barang miliknya yang disita.

Menurutnya, dua gerai di Sudut Selera Putra ditutup namun, pemiliknya masih belum menjelaskan jumlah sewa tertunggak.

“Walaupun mereka tidak lagi beroperasi namun, ini tidak bermakna mereka tidak perlu menjelaskan bayaran tertunggak kerana kita akan mencari mereka untuk melunaskan bayaran itu.

“Kita juga tidak akan membenarkan mereka menyewa mana-mana gerai MBAS sekiranya belum membuat pembayaran,” katanya.

Shaari berkata, operasi sitaan yang dijalankan itu diadakan pada setiap minggu dan akan berakhir pada Disember depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: