10 April 2012

Ulat tawar khidmat sijil halal

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PUCHONG: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesan kegiatan segelintir individu yang menjadi ‘ulat’ dengan menawarkan perkhidmatan memohon sijil pengesahan halal dan logo halal Malaysia bagi pengusaha premis makanan dan restoran dengan mengenakan kadar antara RM2,000 dan RM4,000.

Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Adam Drahman, berkata kegiatan ulat terbabit dikesan sejak pihaknya melaksanakan tiga fasa penguatkuasaan terhadap pengusaha premis berkenaan bagi mendapatkan sijil dan logo halal mulai awal tahun ini sebelum dikuatkuasakan pada 1 Julai ini.

Menurutnya, dalam peringkat pertama pada Januari hingga Mac lalu operasi penguatkuasaan Jakim lebih bersifat mendidik dan menggunakan kaedah berlembut apabila pengusaha berkenaan hanya diberikan nasihat untuk mendapatkan sijil pengesahan halal dan menurunkan logo halal tidak diiktiraf.

Manakala, dalam peringkat kedua pula Jakim mengambil pendekatan lebih bersifat separa penguatkuasaan termasuk memberikan surat amaran bermula April hingga 30 Jun ini.

“Namun, ketika pemilik premis makanan dan restoran mendapatkan sijil pengesahan halal dan logo halal Malaysia sebelum tempoh kelonggaran diberikan berakhir, didapati ada segelintir individu cuba mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan memohon dokumen penting ini.

“Mereka mengenakan caj perkhidmatan antara RM2,000 dan RM4,000 bagi satu premis dan kadar itu boleh meningkat lebih tinggi bergantung kepada skala perniagaan dan bilangan premis sedangkan kadar caj bayaran dikenakan Jakim hanya RM200 bagi satu premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi amaran kepada empat premis makanan di Subang Jaya dan bandar ini yang dikunjungi umat Islam selepas didapati masih berdegil mempamerkan logo halal swasta termasuk satu yang belum mempunyai sijil pengesahan halal.

Adam berkata, Jakim tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai wakil pemohon kepada pengusaha premis dan restoran untuk mendapatkan sijil berkenaan sebaliknya permohonan hendaklah dimajukan terus kepada pihaknya.

“Tidak susah memohon sijil dan logo halal ini jika pengusaha mengikut prosedur yang betul iaitu melampirkan salinan dokumen seperti lesen perniagaan, lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), kad pengenalan sekurang-kurangnya dua pekerja beragama Islam sebagai pengendali dan resit dari pembekal yang mempunyai logo halal,” katanya.

mstar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kata negara ini negara ISLAM,Sepatunya logo HALAL tak perlu,Tetapi logo HARAM yaNg patut dipamerkan.