10 April 2012

Pimpinan PAS ke Perlis selepas T'ganu dan Pahang

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KANGAR, 10 April: Selepas selesai melawat Terengganu dan Pahang hujung minggu lalu, pimpinan PAS yang diketuai Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan ke Perlis pula hujung minggu ini.

Beliau akan berada di Perlis pada hari Sabtu, 14 April ini.

Program jelajah negara ini dibuat untuk membolehkan pucuk pimpinan PAS mempersiapkan PAS bagi setiap negeri dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang ini.

Sebelum ini, Lajnah Penerangan PAS menjelajah seluruh negara melalui program 'konvoi penerangan' yang diketuai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut serta dalam program di Perlis termasuk Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof.

Sepanjang berada di negeri ini, beliau akan bertemu pimpinan PAS serta orang ramai dalam beberapa program yang telah disusun.

Bermula jam 12.00 tengahari, Abdul Hadi akan disambut dengan konvoi bermotosikal untuk dibawa ke program bersama rakyat yang diadakan di ketiga-tiga parlimen Padang Besar, Kangar dan Arau.

Beliau kemudiannya akan bertemu pimpinan PAS Perlis dalam majlis yang akan diadakan di Kompleks PAS Perlis dan kemudiannya akan mengadakan majlis dialog dengan masyarakat Cina.

Pada sebelah malamnya, presiden dan pimpinan lain akan sekali lagi menemui masyarakat dan majlis ceramah yang akan diadakan di Kompleks PAS Perlis.

Harakah Daily

Tiada ulasan: