20 Mac 2012

Makmal dadah diserbu

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAJANG - Hanya dengan mempelajari kaedah daripada internet, sekumpulan lelaki, di sini menjadikan rumah sewa sebagai makmal mini memproses syabu.

Bagaimanapun, taktik kumpulan itu yang baru tiga minggu beroperasi terbongkar setelah diserbu anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diketuai Asisten Superintendan Hngh Ah Leong, kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Dalam dua serbuan berasingan masing-masing di Bandar Sungai Long dan Desa Damai Perdana itu, enam lelaki termasuk seorang warga asing berjaya diberkas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kondominium, empat suspek berusia lingkungan 30-an ditahan.

Menurutnya, berdasarkan peralatan dan bahan kimia ditemui, polis yakin kediaman berkenaan dijadikan makmal mini untuk memasak syabu.

“Siasatan lanjut mendapati, makmal di kondominium itu baru tiga minggu beroperasi di mana suspek sebelum ini menjalankan operasi di blok bersebelahan, bagaimanapun kita percaya sindiket yang mempelajari cara memproses syabu dari internet ini telah beroperasi lebih setahun lalu,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut menemui cecair jenis dadah seberat 1.5 kilogram yang sedang diproses dan suspek dipercayai mengeringkannya sebelum dijual di sekitar Lembah Klang.

Bertindak atas maklumat awam, polis kemudiannya membuat serbuan kedua di sebuah kediaman dekat Desa Damai Perdana, Kajang dan berjaya menahan seorang lagi suspek warga tempatan berusia 30-an bersama 500 gram dadah jenis syabu bernilai hampir RM60,000.

Dalam serbuan kedua ini, polis turut menahan seorang tokan warga asing berusia 20-an yang dipercayai dikurung dan dijadikan tebusan kerana gagal membayar dadah jenis syabu yang diambil daripada suspek.

Lelaki itu bagaimanapun, cedera kerana terjatuh dari tingkat empat kediaman berkenaan ketika cuba untuk melarikan diri.

Mengulas kejadian itu, Nordin berkata, polis masih menyiasat dakwaan mengenai warga asing berkenaan.

“Namun polis percaya dengan tertangkapnya enam suspek ini, kita berjaya melumpuhkan sindiket ini di sekitar Kajang,” katanya.

Difahamkan, semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah dan tahanan­ daerah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: