04 Ogos 2011

Lombong nadir bumi Lynas dibuka di Australia Barat

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Lombong yang akan meneroka deposit nadir bumi yang diketahui paling kaya di dunia, dibuka pada Khamis di kawasan Goldfields Australia Barat (WA).

Lombong Mt Weld, kira-kira 35km ke selatan Laverton, merupakan projek Lynas Corporation sejak 10 tahun lepas.

Bijih akan dikumpul di Mount Weld sebelum dieksport ke kilang pemprosesan logam canggih Lynas di Kuantan, Malaysia, dan dijual ke seluruh dunia.

Ketua Menteri WA Colin Barnett berkata ia merupakan lombong nadir bumi pertama yang dibuka di luar China dan menambah, dan sangat penting kepada WA yang sudahpun memiliki sektor sumber yang pelbagai.

"Menerusi 90 pekerja pada kapasiti penuh, lombong berkenaan dijangka menyumbang sekurang-kurangnya A$17 juta pembayaran royalti tahunan kepada negeri itu," katanya dalam satu kenyataan.

Associated Press Australia berkata nadir bumi merupakan istilah yang digunakan ke atas 15 elemen logam yang ditemui dalam "koktel" elemen yang diperlukan yang akan dipisahkan untuk kegunaan komersil.

Ia digunakan dalam bahan canggih, bateri dan peranti elektronik seperti komputer, televisyen berdefinisi tinggi, telefon mudah alih, peranti audio selain teknologi kereta hibrid.

Lombong Mt Weld dijangka beroperasi selama 20 tahun.

China membekal kira-kira 95 peratus pasaran nadir bumi dunia, namun mengehadkan bekalan ke tempat lain di dunia.

Mengikut anggaran, Lynas mampu membekalkan kira-kira lapan peratus daripada pasaran dunia pada 2012 dan 14 peratus pada 2013.

Pengerusi Eksekutif Lynas Nick Curtis berkata pembukaan lombong berharga A$100 juta itu, sangat penting untuk syarikat itu serta Australia.

"Pembukaan lombong Mt Weld itu merupakan kejayaan penting kami. Ia merupakan lombong nadir bumi pertama yang dibuka di Australia dan menunjukkan negara itu mempunyai pelbagai logam untuk dibekalkan kepada rakan dagang," katanya.

Lynas menerima bantahan besar-besaran daripada penduduk di kawadan kilang pemprosesannya di Kuantan.

Kajian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa ke atas kilang berharga US$220 juta itu (Kuantan), mendapati ia mematuhi standard keselamatan antarabangsa, namun mengesyorkan syarikat itu berhubung lebih rapat dengan penduduk tempatan.

Curtis berkata pembabitan dengan masyarakat secara amnya perlu lebih rapat berbanding sedekad lepas.

Beliau berkata jika pada peringkat awal lagi perhubungan itu diwujudkan, ia tidak akan menerima bantahan seperti sekarang.

- Bernama

Tiada ulasan: