04 Ogos 2011

Amerika tetap veto Palestin

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Ashrawi dedah keputusan Obama

WASHINGTON: Utusan kanan Pihak Berkuasa Palestin (PA), Hanan Ashrawi mengakui gagal memujuk pentadbiran Presiden Barack Obama untuk tidak menggunakan veto terhadap usaha pemimpin Palestin mendapatkan keanggotaan negara mereka sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengikut sempadan 1967.

Ashrawi berkata, pentadbiran Obama sudah memutuskan untuk menggunakan veto jika PA membuat permohonan kepada Setiausaha Agung PBB, untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu.

“Pujukan saja tidak mencukupi. Amerika sudah buat keputusan,” kata Said Ashrawi, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

“Saya hanya berharap apa yang saya kata dapat mengubah fikiran mereka,” katanya.

Ashrawi yang dihantar ke Washington oleh Presiden Palestin, Mahmud Abbas, berkata beliau sudah menggesa pegawai Amerika minggu ini supaya menyokong atau sekurang-kurangnya tidak menyekat usaha pemimpin Palestin dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA), September depan.

“Pemimpin AS tidak patut menggunakan veto ke atas perkara yang menjadi hak Palestin untuk merdeka dan membentuk negara,” katanya.
Obama menyokong gesaan supaya negara Palestin dibentuk mengikut sempadan ketika perang 1967 selain persetujuan untuk menukar wilayah.

Tetapi, beliau menggesa pemimpin Palestin merundingkannya terus dengan Israel dan tidak membawanya ke PBB.

Pusingan terakhir rundingan damai buntu berminggu-minggu lalu selepas dilancarkan di Washington, September lalu selepas Israel enggan memperbaharui tempoh pembekuan membina penempatan secara terhad di kawasan tuntutan Palestin untuk menjadi sebahagian negara pada masa depan. – AFP

Tiada ulasan: