26 Oktober 2009

Bajet Kelantan 2010 'Memacu Dalam Hemat'

KOTA BHARU, 25 Okt: Kerajaan negeri Kelantan memberikan tumpuan untuk kebajikan dalam bajetnya tahun ini yang bertema "Memaju dalam hemat'.

Ia telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi,Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa di pembentangan Bajet 2010 pada sidang Dun hari ini.

Menurut Husam, kemelesetan ekonomi global dan negara ini yang bermula tahun 2007 yang dianggap oleh penganalisa ekonomi sebagai krisis kewangan terburuk sejak zaman The Great Depression yang bermula tahun 1929 dulu.

Ia diikuti kejatuhan dalam bursa saham di seluruh dunia yang kemudiannya menjunam pada September 2008 apabila beberapa gergasi kewangan di Amerika Syarikat terjerumus ke dalam masalah kewangan akibat krisis kredit ekonomi.

Namun demikian walaupun keadaan yang tidak menentu dalam pasaran ekonomi hari ini, Kelantan telah mengambil beberapa langkah terbaik bagi bajet 2010 iaitu dengan menekankan kepada tiga perkara utama iaitu penjanaan ekonomi, pembinaan insan kamil dan membantu golongan yang memerlukan melalui program kebajikan.

Penjanaan ekonomi untuk semua rakyat akan diberikan tumpuan khusus terutamanya galakan usahawan.

Pembinaan Insan Kamil yang berteraskan taqwa akan dibuat memalui pembangunan modal insan dan perkongsian penderitaan melalui pembelaan golongan daif, miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas.

Berasaskan kepada tema Bajet Memacu Dalam Hemat, Bajet 2010 akan terus berpaksikan kepada strategi seperti mengajak semua pihak melaksanakan dasar berjimat cermat dalam seluruh aspek pengurusan kewangan.

Kerajaan juga akan memantapkan jentera kutipan hasil, mewujudkan urustadbir yang baik berlandaskan ubudiyyah, masulliyyah dan itqan dan mengimbangi di antara pembangunan fizikal dan ruhani bagi pelbagai lapisan rakyat melalui pendekatan pembangunan bersepadu berteraskan iman dan akhlak yang tinggi, kata Husam.

Husam juga berkata penjanaan ekonomi untuk rakyat adalah meliputi pembangunan usahawan, infrastruktur asas, memajukan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pelancongan.

Pembinaan insan kamil yang berteraskan taqwa berterusan pula ialah dengan mengadakan program memartabatkan Islam seperti meneruskan program ke arah membudayakan Al-quran sebagai satu prinsip yang seiring dalam pembangunan fizikal dan rohani.

Sementara itu bagi strategi ketiga yang diambil oleh kerajaan ialah memacu pembelaan kepada golongan daif, miskin, orang kurang upaya, armalah dan warga emas dengan memperuntukkan sejumlah wang yang besar diantaranya ialah mengekalkan RM2 juta bagi golongan armalah, RM2juta untuk anak yatim, RM5 juta bagi Skim perlindungan Sosial Tengku Anis-KIFALAH dan RM4.7 juta bagi program membaiki rumah uzur melalui skim bantuan Rumah Dhuafa�.

Hasil 2010 meningkat

Kerajaan negeri Kelantan sekali lagi mengalami defisit dalam bajet tahun 2010 dimana perolehan hasil yang dianggarkan bakal diperolehi ialah RM 387.38 juta manakala perbelanjaan mengurus dianggatkan berjumlah RM416.88 juta dengan anggaran defisit berjumlah RM29.50 juta.

Menurut Husam, anggaran hasil tahunan 2010 meningkat sebanyak RM387.38juta jika dibandingkan dengan tahun 2009, namun ia masih tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan mengurus.

Hasil yang meliputi Cukai iaitu RM 77.33 juta, manakala Bukan Cukai pula ialah RM208.28juta dan Terimaan bukan hasil sebanyak RM101.77 juta.

Peningkatan hasil bagi tahun 2010 adalah berpunca daripada kenaikan beberapa sumber hasil tertentu akibat penyemakan semula yang dibuat oleh jabatan-jabatan setelah mengambilkira pungutan sebenar hasil yang diperolehi bagi tahun 2009.

Hasil Tanah merupakan penyumbang terbesar iaitu RM 110.59 juta atau 28.55 peratus daripada keseluruhan hasil,manakala perhutanan menyumbang RM107.48 juta atau 27.74 peratus.

Husam juga berkata peningkatan dalam perbelanjaan mengurus bagi tahun 2010 sebanyak 13.58 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2009 iaitu sejumlah RM56.62 juta.

"Kerajaan juga berharap agar agensi-agensi negeri seperti Pihak Kerajaan Tempatan, YAKIN, Yayasan Islam Kelantan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan PKINK akan terus berusaha untuk mempertingkatkan hasil atau mencari punca hasil baru, mereka perlu proaktif dalam usaha ini supaya dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada sumber bantuan kerajaan negeri,"ujar beliau.

Tiada ulasan: