12 Jun 2013

Belanja kempen: Pemuda PAS desak penjelasan Zahid

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan jumlah perbelanjaan kempen beliau semasa Pilihan raya Umum ke-13 baru-baru ini.


Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar)menyatakan demikian ekoran Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mendedahkan bahawa beliau telah membelanjakan sebanyak RM100 dan 5 kg beras kepada 24,000 orang di Bagan Datoh pada PRU13.

Dakwaan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menunjukkan Ahmad Zahid telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan membelanjakan melebihi jumlah yang ditetapkan, iaitu sebanyak RM200,000.

Itupun, katanya belum dicampur dengan segala perbelanjaan lain termasuk tenaga petugas kempen, jentera, peralatan serta bahan-bahan kempennya yang mungkin jauh lebih banyak daripada apa yang didedahkan oleh Rafizi.

Justeru, ujar Riduan DPPM merasa hairan bagaimana Ahmad Zahid boleh mendapat duit sebanyak itu untuk perbelanjaan kempennya.

“Apakah ianya duit daripada poket beliau, parti mahupun daripada kerajaan?

“Mungkinkah ini menandakan bahawa setiap pemimpin BN diberikan peruntukan besar semasa kempen PPRU13 untuk diberikan kepada pengundi-pengundi?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam hal ini, katanya respons daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat penting bagi menjawab persoalan mengenai status pemberian wang tunai kepada pengundi ketika musim kempen pilihanraya sama ada ia boleh dikategorikan sebagai rasuah atau sebaliknya.

Beliau berkata, rakyat perlu mengetahui sumber kewangan Ahmad Zahid dan ke mana dihabiskan duit kempennya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: