28 Disember 2012

Royalti: BN tidak peka kehendak rakyat Sarawak

14 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Setelah beberapa minggu PAS dan Pakatan Rakyat Sarawak mengutarakan serta mendesak kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan jumlah pemberian royalti petroleum Sarawak daripada 5% kepada 20% masih belum ada lagi tanda pihak pemerintah bersedia untuk meningkat jumlah royalti petroleum tersebut.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh BN tidak peka dengan kehendak rakyat negeri Sarawak,” kata Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazu Paijo (gambar).

Tambah mengecewakan, katanya apabila tiada seorang pun wakil rakyat atau pimpinan BN yang memberikan sokongan secara jelas terhadap tuntutan rakyat untuk menambah peratusan royalti petroleum untuk negeri Sarawak.

Katanya, dengan kadar kemiskinan pada tahap 5.3% dan indeks pembangunan jalan raya yang paling rendah iaitu pada kadar 0.38 menjadi bukti jelas kenapa kadar royalti petroleum untuk negeri Sarawak perlu ditingkatkan.
“Pemuda PAS Negeri Sarawak dengan ini mendesak Ketua Pemuda PBB, YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof selaku tunjang Pemuda BN Sarawak untuk menyatakan pendirian beliau selaku pemipin muda BN serta pendirian Pemuda BN sendiri berkenaan tuntutan untuk meningkatkan kadar royalti petroleum Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Pemuda PAS Negeri Sarawak akan terus membangkitkan rakyat negeri ini untuk sama-sama menuntut hak yang tidak dipulangkan kepada mereka melalui program-program susulan kebangkitan rakyat di seluruh negeri.

harakah/-

Tiada ulasan: