06 Julai 2012

Mulakan program kesihatan menyeluruh di penjara

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara supaya bekerjasama untuk mempertingkat dan memajukan sistem penjagaan kesihatan di penjara. Ini kerana banduan dan tahanan terdedah kepada risiko mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti HIV, tibi dan ketagihan dadah, atau mempunyai kesihatan yang buruk. Memperbaiki sistem penjagaan kesihatan di penjara boleh membantu menangani masalah-masalah kesihatan tersebut selain mengurangkan risiko banduan mengalami masalah yang sama apabila mereka dibebaskan kelak.

Selepas mengenal pasti risiko kesihatan di penjara, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperkenalkan Program Kesihatan di Penjara (HIPP) pada 1995. Program berkenaan memberi tumpuan kepada mempertingkatkan kesihatan awam dengan menggalakkan hubungan di antara penjagaan kesihatan di penjara dan sistem penjagaan kesihatan awam. Pada hari ini HIPP bergerak di kedua-dua peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk menggalakkan kepentingan kesihatan dalam persekitaran penjara.

Malaysia jauh terkebelakang dalam mengenal pasti kepentingan menjaga kesihatan dan penjagaan kesihatan di penjara. Di Malaysia dasar berhubung penjagaan kesihatan di penjara berada di bawah pengawasan awam, bidang perundangan, polis dan pihak penjara. Di negara-negara yang menitikberatkan soal penjagaan kesihatan, sistem penjagaan kesihatan bertindak sebagai entiti yang memaju dan memastikan pelaksanaan dasar penjagaan kesihatan di penjara.

Dalam laporan ringkas statistik bagi Dadah dan Jenayah, Pejabat PBB (UNODC) berhubung jenayah bagi semua negara sepanjang tempoh 2005 – 2006, nampaknya pihak penjara di Malaysia mahupun Kementerian Kesihatan tidak mampu memberikan data yang asas sekalipun mengenai nisbah banduan yang menderita ketagihan dadah, menghidap HIV/AIDs, tibi dan masalah mental padahal banyak negara lain lebih memahami masalah yang mereka hadapi.

Penghuni penjara cenderung mempunyai keadaan kesihatan yang kurang baik, dengan masalah kesihatan mental begitu membimbangkan. Sejumlah tahanan di Malaysia dimasukkan ke penjara kerana kesalahan yang dikaitkan dengan dadah. AIDs dan penyalahgunaan dadah menjadi masalah yang semakin bertambah di penjara-penjara Malaysia dan dalam banyak keadaan, ia berkait secara langsung. Salah satu tujuan diwujudkan penjara ialah untuk memulihkan banduan menjadi warga yang mematuhi undang-undang.

Sistem penjagaan kesihatan berada di dalam proses ini kerana ia mensasarkan pemulihan psikologi selain merawat masalah kesihatan. Jika masalah kesihatan berjaya ditangani sewaktu di penjara lagi, risiko berulang, risikonya terhadap masyarakat, dan risiko ke atas kesihatan mereka berkurang setelah mereka dibebaskan dari penjara. Keseluruhan proses dan keberkesanan proses pemulihan akan bertambah baik, membolehkan banduan menyesuaikan dirinya semula dalam masyarakat. Oleh itu, masyarakat Malaysia akan memperoleh manfaat jika dibentuk program kesihatan yang menyeluruh di penjara, justeru ia tidak seharusnya dipandang ringan.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan telah melaksanakan program-program untuk mengurangkan kelaziman kes-kes HIV. Bagaimanapun ia masih belum memajukan program penjagaan kesihatan yang menyeluruh di penjara. Dalam usaha mewujudkan program penjagaan kesihatan yang menyeluruh, Malaysia perlu bekerja ke arah memajukan generasi yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan perubatan untuk mengendalikan program kesihatan di penjara. Pasukan pakar ini perlu termasuk doktor, psikologis, pakar kesihatan awam, ahli ekonomi kesihatan, pakar dalam pencegahan jenayah, ahli statistik bio, dan epidemiologis. Kementerian Kesihatan juga boleh memulakan pengumpulan data kebangsaan mengenai petunjuk kesihatan di penjara. Langkah ini boleh membantu pemantauan dan penilaian penjagaan kesihatan dan kesihatan di penjara.

Malaysia masih berada di takuk lama dalam mengendalikan segala urusan di penjara padahal banyak negara lain telah melangkah jauh ke depan. Jika kita ingin mempertingkatkan tahap dalam program kesihatan di penjara, kita perlu mengubah dan memajukan dasar-dasar secara dramatik. Adalah penting untuk memahami kesan penjagaan kesihatan di penjara terhadap keseluruhan masyarakat jika ia tidak diberi keutamaan. Sungguhpun penghuni penjara hanya segelintir daripada keseluruhan jumlah penduduk namun kebajikan mereka menjadi keprihatinan seluruh masyarakat.

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Harakah Daily

Tiada ulasan: