06 Julai 2012

Lelaki tidak mengaku bersalah guna wang palsu

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Taktik seorang bekas tentera menggunakan sekeping not RM100 palsu untuk membeli di sebuah kedai runcit di Ketereh di sini, terbongkar, apabila dia dicekup dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Bekas tentera berkenaan, Mohd Naim Mansor, 31, bagaimanapun tidak mengaku bersalah menggunakan wang palsu itu.

Dia didakwa menggunakan wang tersebut itu sebagai tulen di sebuah kedai runcit di Taman Desa Pahlawan, Ketereh di sini, pada jam 9 pagi, 19 Jun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 489B yang membolehkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh juga menafikan pemilikan empat wang palsu, RM100, RM50, RM10 dan RM1 di balai Kok Lanas di sini, pada jam 12 tengah hari, tarikh sama.

Bagi tuduhan kedua itu, tertuduh berdepan penjara yang boleh sampai 10 tahun.

Bagaimanapun, susulan daripada pengakuan tidak bersalah tersebut, Hakim Azman Mustapha menetapkan sebutan semula pada 3 September depan, sementara itu, dia dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, peguam bela Khidmat Bantuan Guaman, Aisyah Abdullah, memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin berikutan isteri tertuduh masih dalam tempoh berpantang.

“Isterinya baru sahaja melahirkan anak mereka yang ketiga, 10 hari lalu. Kehadiran tertuduh di sisinya diperlukan bagi dia mengharungi tempoh selepas bersalin dengan lebih baik,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: