08 April 2013

Peter Chin ulangi pendirian tidak mahu tanding PRU13

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Peter Chin Fah Kui

Peter Chin Fah Kui
PUTRAJAYA - Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini mengulangi pendirian untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Sambil mengharapkan hasratnya direstui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Chin berkata beliau telah menyerahkan nama Setiausaha Politiknya Datuk Sebastian Ting untuk bertanding di kerusi Parlimen Miri yang kini disandangnya.
"Perdana Menteri yang akan membuat keputusan terakhir, namun gayanya seperti dia merestui apa yang saya mahu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kementerian di sini.
Bagaimanapun kata Chin, beliau akan kekal sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sehingga penggalnya berakhir pada 2014.
Mengulas lanjut, Chin berkata sudah tiba masanya bagi beliau berundur daripada menjadi anggota parlimen kerana enam penggal sebagai Anggota Parlimen Miri adalah tempoh yang panjang.
"...kita perlu memberikan peluang kepada calon yang lebih muda. Untuk tunjukkan bahawa parti mengikuti peredaran zaman yang tua kena undur supaya orang muda boleh naik. Saya rasa itu amalan yang baik dan harap amalan ini boleh dipraktikkan dalam semua cawangan SUPP," katanya.
Menurut Chin, SUPP kekal bertanding di tujuh kerusi parlimen di Sarawak pada PRU kali ini.
Manifesto akan diumum pada hari penamaan calon atau selepas itu dengan sedikit pengubahsuaian kerana beberapa perkara sudah disebut dalam manifesto BN, katanya.
Mengenai sama ada beliau akan terus berkhidmat sebagai presiden SUPP selepas penggalnya berakhir, Chin berkata: "...kita akan tengok jika perwakilan masih perlukan khidmat saya." - Bernama

Tiada ulasan: