08 April 2013

Kecewa masalah air di Kuantan

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUANTAN – Jawatankuasa Pemantauan Hal Ehwal Air Kuantan dalam pertemuan bersama media semalam menegaskan kekecewaan mereka mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di daerah ini. Pengerusinya, Chia Lee Lee berkata, pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan di pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) namun tiada sebarang perubahan yang berlaku.

Mereka mendakwa, kawasan kritikal yang mengalami masalah ketiadaan air ialah Air Putih, Kem Galing, Jalan Haji Ahmad dan Bukit Ubi.

“Kita tidak pasti masalah atau punca sebenar masalah ini berlaku tetapi harap Paip boleh jelaskan dengan baik,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga pernah menghantar surat bertarikh 25 Mac lalu untuk berdialog dengan pegawai Paip namun surat mereka tidak mendapat sebarang maklum balas. Sementara itu, Setiausaha jawatankuasa itu, Chen Sheng Ling pula mendakwa, lawatan mereka di pejabat Paip tidak menjanjikan penyelesaian kerana masing-masing tidak mempunyai jawapan kukuh.

 Katanya, sebagai sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab kepada penduduk, mereka mahu Paip memaklumkan status kerja yang dilakukan sehingga boleh mengganggu penduduk dengan ketiadaan air setiap masa.

“Lebih mengecewakan apabila mereka meminta kami berjumpa Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh. Kami tidak mahu Fuziah, kami mahu masalah air diselesaikan,” katanya.

Sheng Ling berkata, adalah tidak adil jika Paip tidak memberi penjelasan dan kedudukan mengenai pembaikan atau naik taraf yang dilaksanakan kerana membabitkan masalah penduduk setempat.

“Sekurang-kurangnya kami tahu masalah atau kawasan dalam pembaikan jika bekalan air terputus dalam tempoh tertentu,” katanya.

Tiada ulasan: