01 Februari 2012

PAS Pahang sokong bantah korporat JBA

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 1 Feb: PAS Pahang menyokong tindakan 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang membantah pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Februari atau ditangguhkan.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang, Hassanuddin Salim (gambar) berkata, malah PAS menyokong jika mereka mahu mengadakan bantahan terbuka kerana tiada langsung rundingan rasmi melibatkan wakil kesatuan sehingga menimbulkan tanda tanya sesama mereka.

“PAS menganggap kerajaan negeri tidak sepatutnya membelakangkan kakitangan JBA untuk mengkorporatkan agensi itu kerana ia melibatkan masa depan mereka,” katanya.

Hassanuddin berkata demikian mengulas tindakan kakitangan jabatan tersebut yang mengisytiharkan akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka ditangguhkan pengkorporatan dan penswastaan agensi itu tidak dipedulikan.

Menurut perancangan, JBA akan diswastakan dengan nama Perbadanan Air Pahang (Paip) berkuatkuasa pada 1 Februari ini.

Pada masa ini kutipan hasil air merupakan pendapatan kerajaan negeri yang ketiga selepas tanah dan balak.

Kelmarin, Presiden Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman mewakili kakitangan JBA berkata, penangguhan pengkorporotan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional tersebut.

Omar menambah, Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

“Bayangkan, 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing.

“Ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya,” sebagaimana dipetik media.

Beliau turut merayu Menteri Besar Pahang menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan tersebut sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak.

Sementara itu Hassanuddin berkata, penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar sehinggalah rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang.

"Sepatutnya, selesaikan dahulu isu SBPA sebelum meneruskan agenda mengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa banyak menimbulkan tanda tanya kakitangannya sendiri pekerja bertaraf kontrak selepas ini.

“Walau sebaik manapun yang dirasakan pihak kerajaan melalui pengkorporatan ini, jika tidak berunding secara mendalam dengan kakitangan itu tidak betul kerana ia membabitkan masa depan mereka.

“Satu hal lagi, selepas pengkorporatan kemungkinan rakyat akan dibebankan pula dengan bil yang tinggi. Jadi ini nampak kerajaan mahu melepaskan tanggungjawab ini kepada swasta," katanya.

Tambah Hassanuddin, isu yang sebenar ialah Kerajaan Negeri Pahang mesti menyelesaikan masalah air yang begitu kritikal di sesetengah tempat walaupun negeri ini mewah dengan sumber air mentah.

Harakah Daily

Tiada ulasan: