01 Februari 2012

Warga emas maut lintas jalan

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Hasrat seorang warga emas yang ingin bertemu anaknya di sekitar bandar ini tidak kesampaian, apabila dia maut dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Rasah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, M Muniammah, 67, mati akibat dirempuh sebuah kereta sewaktu sedang melintas di jalan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Pasir mengambil jalan mudah menyeberangi jalan besar tanpa menggunakan jejantas yang disediakan di kawasan berhampiran.

“Mengikut siasatan awal, kita dapati mangsa mahu melintas untuk mendapatkan perkhidmatan bas di seberang jalan.

“Namun, tindakannya itu menyebabkan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 30-an, tidak sempat mengelak, lalu merempuhnya sehingga terpelanting ke atas jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera di anggota badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan dia telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan jejantas yang disediakan untuk melintas bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: