25 September 2009

Kursus Pra Perkahwinan Sebagai Asas Bina Keluarga

Ahmad Baei Jaafar

Keruntuhan rumah tangga yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini amat membimbangkan banyak pihak. Apa tidaknya, dalam usia perkahwinan yang baru berusia seminggu sudah boleh berlaku penceraian. Walaupun jumlahnya tidak begitu ramai namun trend itu cukup membimbangkan generasi yang baharu hendak berkahwin.

Lazimnya pada musim ini, perceraian yang kerap berlaku adalah dalam kalangan pasangan yang sudah mempunyai dua tiga orang anak. Puncanya mungkin pelbagai mengikut keadaan seseorang. Cuma dalam kebanyakan kes yang dapat dikesan, mereka yang terlibati ut cuai dalam soal solat, cuai dalam hubungan dengan Allah.

Berdasarkan pengalaman sesebuah perkahwinan, apabila seseorang itu longgar hubungannya dengan Allah, pasti hubungannya dengan manusia juga akan renggang. Apabila hubungan itu menjadi retak, maka ikatan perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan lalu terpaksa ditamatkan di mahkamah Syariah.

Kursus Pra Perkahwinan
Di manakah silapnya perkahwinan itu sehingga mudah berlaku penceraian berbanding perkahwinan yang berlaku pada zaman dahulu? Adakah kerana kursus pra perkahwinan tidak berkesan?

Memang banyak pihak yang mempertikaikan keberkesanan kursus pra perkahwinan. Katanya, modul kursus itu gagal mendidik peserta menjadi suami isteri yang bermutu. Kursus yang dianjurkan hanya sebagai satu bisnes bukan bertujuan mendidik bakal suami isteri supaya memahami dan menjiwai hidup berkeluarga.

Dakwaan itu mungkin satu andaian tetapi sebenarnya kursus dua hari yang diperuntukkan itu bukanlah bertujuan mendidik perserta. Kursus dua hari memang tidak cukup untuk menjamin sesuatu pasangan itu boleh hidup bahagian sehingga ke akhir hayat. Apatah lagi kurikulum kursus itu hanya sekadar untuk mengulang kaji ilmu fardu ain yang asas iaitu tauhid, dan fiqah dalam persoalan ibadah.

Tidak dinafikan dalam kursus itu ada perbincangan mengenai hukum munakahat. Semua peserta akan diberi pendedahan beberapa masalah rumah tangga dan cara penyelesaian. Perbincangannya mungkin lebih serius jika ada persoalan daripada peserta. Namun kebanyakan kursus selama dua hari itu berjalan dalam bentuk satu hala sahaja. Penceramah memang serius mahu memberi penjelasan sesuatu hukum, tetapi berapa ramai perserta yang mengambil bahagian bertanya balas? Malah sesetengah peserta tidak membuat catatan nota sebaliknya hanya bergantung kepada kertas kerja yang disediakan.

Walaupun terdapat peserta yang mengambil perhatian serius tetapi terdapat sesetengah peserta yang kelihatan “mengangguk” waktu mendengar kuliah, entah faham entah tertidur - tidak tahulah. Tapi yang jelas, selepas penceramah menjelaskan beberapa hukum, tidak diambil perduli. Walaupun penceramah mengatakan, “dalam tempoh pertunangan, mereka tidak boleh bertempuk tampar” tetapi selepas berehat seketika itu mereka yang datang berpasangan itu boleh makan berdua-duaan dan berpegang tangan.

Niat Peserta
Selain niat penganjur kursus untuk bisnes, kehadiran peserta ke dalam kursus dua hari itu juga bukanlah serius untuk menuntut ilmu, bukan niat mereka untuk menambah ilmu. Sebaliknya niat mereka hanya satu iaitu, hendak dapat sijil kursus supaya dengan itu mereka boleh berkahwin. Kalau begitulah niat mereka, bagaimanakah kursus itu boleh memberi manfaat kepada mereka.

Berdasarkan itu,tentulah tidak adil kita menyalahkan modul kursus itu sebagai tidak berkesan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian semula dan diberi penambahbaikkan. Antara yang perlu dilihat semula ialah:

1. Persoalan Munakahat dan permasalahan rumah tangga perlu dipanjangkan.
2. Pengkursus perlu kreatif dalam menyampaikan mesej tersebut.
3. Sesi dialog atau soal jawab dua hala perlu diwujudkan.
4. Sesi peperiksaan perlu diwujudkan bagi memberi tekanan kepada peserta supaya serius dalam kursus tersebut.
5. Keputusan disertakan bersama sijil kursus tersebut.

Kursus selama dua hari adalah munasabah dan mampu memberi panduan pada bakal pengantin, jika lima perkara ini diberi penekanan semula. Walau bagaimanapun untuk lebih memantapkan lagi pengetahuan peserta, mereka perlu menghadiri satu hari lagi pada minggu yang lain untuk peperiksaan bertulis dan lisan. Ini bermakna dalam tempoh itu mereka boleh mengulang kaji ilmu yang dipelajari sebelum peperiksaan itu.

Saya percaya kalau sesi temu duga atau peperiksaan itu dilakukan, semua peserta akan mengambil perhatian kepada isi kursus itu. Ketika itu semua peserta akan mengambil berat semua perbincangan dalam kursus tersebut. Dengan cara itu mereka akan benar-benar memahami hukum dan masalah rumah tangga dan jalan penyelesaiannya.

Sebenarnya belum wujud kursus seperti sekarang ini, pernah diwajibkan kepada semua pasangan yang hendak berkahwin untuk menghadiri sesi temu duga di hadapan pegawai pejabat agama. Tetapi sesi itu dihentikan kerana dianggap menyusahkan semua pihak yang terbabit. Hal ini kerana semasa temuduga perkahwinan, perserta kurang bersedia kecuali yang ada membaca buku agama.

Pada masa itu, mereka yang tiada asas agama, minat untuk membaca buku agama amat kurang. Kesannya mereka gagal dalam temuduga tersebut. Maka untuk mendapatkan kebenaran nikah, mereka perlu sekurang-kurang dua kali temuduga. Atas rasa simpati, temu duga itu dihapuskan.

Saya percaya kalau kursus itu dapat dibaiki isi kandungan kuliah dan ilmu yang diajar sepanjang dua hari, cukup untuk memberi ilmu asas kepada mereka untuk lulus peperiksaan kemudiannya. Untuk itu, pengajian fardu ain tidak perlu mengambil masa yang panjang. Sebaliknya dibanyakkan contoh kes rumah tangga dan jalan penyelesaiannya.

Selain itu, dalam kursus itu juga perlu dibentangkan beberapa tip-tip praktikal yang boleh membawa kebahagiaan rumah tangga. Peserta kursus pasti boleh mengingati setiap contoh kes yang diberi pada masa itu kerana ia amat dekat di hati mereka. Pada masa yang sama contoh kes tersebut boleh menjadi pengajaran bagi mengelak daripada berlaku krisis dalam rumah tangga mereka.

Percayalah kalau peserta kursus itu mempunyai satu sijil menghadiri kursus dan satu sijil lulus peperiksaan, mereka adalah bakal pasangan yang bahagia sehingga ke dalam syurga. Jadi, dua sijil itu penting untuk membolehkan mereka berkahwin. Walau bagaimanapun bagi mereka yang gagal dalam peperiksaan masih boleh dibenarkan berkahwin setelah menghadiri sesi ujian lisan di hadapan Penolong Pendaftar Nikah setempat.

--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah.

Tiada ulasan: