06 November 2008

Ucapan tahniah kepada Obama

Barack Obama telah diumumkan memenangi pilihan raya kali ini dan akan menjadi Presiden A.S. ke-56. Beliau juga merupakan presiden kulit hitam pertama dalam sejarah A.S. Menurut statistik CNN, calon Presiden Parti Demokrat, Barack Obama telah memperoleh 349 undi, manakala calon Presiden Parti Republikan, John McCain memperoleh hanya 163 undi.

McCain telah menyampaikan ucapan tahniahnya kepada Obama menerusi telefon. Beliau berjanji akan membantu Obama sebaik mungkin untuk mengatasi semua cabaran yang dihadapi oleh A.S.. Presiden sekarang. George W. Bush juga menyampaikan ucapan tahniahnya kepada Obama melalui telefon. Obama akan mengangkat sumpah di White House pada 20 Januari tahun depan.

Pemimpin China, Britain, Perancis, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) satu persatu mengucapkan tahniah kepada Presiden A.S. yang baru terpilih, Barack Obama.

Presiden China, Hu Jintao dalam kawat tahniahnya menyatakan bahawa kerajaan China sentiasa mementingkan hubungan dengan A.S.. Pada masa depan, China berharap dapat berusaha bersama dengan A.S. untuk mendorong dialog dan interaksi, meningkatkan hubungan yang saling mempercayai dan kerjasama, serta meningkatkan hubungan kedua-dua pihak ke taraf yang lebih tinggi, berdasarkan 3 Pengumuman Bersama China-A.S..

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menyatakan bahawa mengembangkan hubungan Britain-A.S. amat penting demi mewujudkan kemakmuran dan keselamatan bagi kedua-dua pihak. Beliau berharap dapat mempererat kerjasama dengan Obama pada masa yang akan datang.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam kawat tahniahnya menyatakan bahawa pemilihan Obama sebagai Presiden baru A.S. akan menyuntik daya penggerak yang baru kepada usaha kedua-dua pihak dalam memelihara kedamaian dan kemakmuran dunia.

Presiden Suruhanjaya EU, Jose Manuel Barroso telah menyatakan harapannya agar pemilihan Obama ini dapat merancakkan kerjasama A.S. dengan negara dan wilayah lain, dan sama-sama menyumbang ke arah memastikan krisis kewangan sejagat ditangani dengan jayanya.

Perdana Menteri Jepun, Aso Taro pula telah menyatakan kesediaannya untuk berusaha bersama-sama dengan Obama bagi memperkukuh hubungan sekutu Jepun-A.S., dan sama-sama memberikan sumbangan kepada penyelesaian terhadap beberapa masalah yang dihadapi oleh masyarakat antarabangsa, termasuk pergolakan kewangan, keganasan dan alam sekitar.

Pemimpin Republik Korea pula menyatakan bahawa pihaknya yakin pemilihan Obama ini akan melonjakkan hubungan sekutu negaranya dengan A.S. ke satu tahap yang lebih tinggi.