21 Oktober 2011

Susilo ingatkan rakyat tidak melampaui batas

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

NAJIB bersama Susilo pada sidang media selepas perundingan tahunan pemimpin kedua-dua negara ke-8, di Lombok semalam. Turut sama menteri Kabinet Malaysia (kiri) dan Indonesia.

Hubungan demokrasi Jakarta, KL patut dipertahankan

PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, mengingatkan rakyat negara itu supaya tidak melampaui batas ketika melakukan tunjuk perasaan membantah sesuatu perkara terhadap Malaysia.

Beliau berkata, dalam alam demokrasi negara itu, tunjuk perasaan boleh terjadi. Bagaimanapun, tunjuk perasaan tidak boleh melebihi sepatutnya kerana boleh melukai hati negara sahabat.

“Hubungan kedua-dua negara harus diletakkan dalam kerangka strategik, fundamental dan jangka panjang.

“Sebagai negara tetangga, pasti ada masalah. Indonesia dan Malaysia, walaupun saudara dekat, selalu ada masalah seperti itu,” katanya pada sidang media selepas perundingan tahunan pemimpin kedua-dua negara ke-8 di sini, semalam.

Tunjuk perasaan di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini berikutan dakwaan bahawa Malaysia merampas tanah milik republik itu di Kalimantan menjadi isu hangat apabila bertukar ganas.

Tindakan penunjuk perasaan merosakkan bahagian depan kedutaan di Jalan Rasuna Said menyebabkan ramai rakyat negara ini meminta kerajaan republik itu melakukan sesuatu.

Susilo berkata, semangat rakyat negara itu, walaupun apa pun terjadi tidak boleh merosak dan mengganggu hubungan strategik dan jangka panjang kedua-dua negara.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan penyelesaian masalah membabitkan kedua-dua negara, tiada lagi persepsi yang keliru dan isu diangkat mana-mana pihak.

“Kita perlu melangkah ke depan dengan semangat baru dan dengan tiada lagi masalah, tiada lagi isu yang boleh disalahertikan sebahagian rakyat Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ada empat prinsip yang mendasari hubungan kedua-dua negara.

Katanya, prinsip pertama ialah sebarang masalah yang wujud perlu diselesaikan secepat mungkin.

Selain itu, katanya, perlu ada suatu tempoh masa untuk menyelesaikan masalah, perhubungan berdasarkan layanan sama rata dan keadaan sama menang yang bukan hanya membabitkan kerajaan, malah rakyat.

berita harian/-

Tiada ulasan: