21 Oktober 2011

Turki serang Iraq

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANKARA : Tentera Turki termasuk pasukan pengebom tentera udara dan helikopter melancarkan serangan mengejut ke atas utara Iraq, beberapa jam selepas pemberontak Kurdish membunuh 24 askar negara ini dan mencederakan 18 yang lain dalam serangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara, hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan membatalkan lawatan ke Kazakhstan dan mengadakan sidang media bagi mengumumkan Turki melancarkan serangan ke atas Iraq.

"Kami tidak akan tunduk terhadap mana-mana serangan sama ada dari dalam Turki atau dari luar," katanya.

Serangan yang dianggap sebagai terbesar dalam tempoh lebih tiga tahun itu turut mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Televisyen NTV melaporkan, tentera Turki memasuki kira-kira empat kilometer ke sempadan Iraq, manakala agensi berita Dogan melaporkan sekurang-kurangnya 20 pemberontak Kurdish terbunuh dalam serangan itu.

Kesahihan laporan itu masih tidak dapat dipastikan.

Serangan yang dipercayai dilancarkan kira-kira 200 pemberontak Kurdish di dua kawasan berasingan berhampiran sempadan Turki-Iraq itu merupakan serangan terbesar sejak 1990-an.

"Kami bertempur dengan tentera Turki di dua kawasan sejak pukul 3 pagi (waktu tempatan) hari ini," kata jurucakap pemberontak Kurdish, Dostdar Hamo di utara Iraq.

Sementara itu di Baghdad, jurucakap kerajaan tidak dapat dihubungi untuk ulasan berhubung serangan tersebut.

Presiden AS, Barack Obama menerusi kenyataan yang dikeluarkan White House mengutuk serangan ke atas Turki dan menyatakan sokongan kepada negara ini.

"Turki merupakan sekutu kami dan AS akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada Turki bagi membendung ancaman keganasan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan berusaha mewujudkan keamanan terutamanya di tenggara negara itu," katanya. - AGENSI

Tiada ulasan: